KUALA LUMPUR 23 April - Prospek pendapatan Top Glove Corp Bhd dijangka lebih baik pada suku kedua 2026 susulan pemulihan harga jualan purata (ASP) bagi sarung tangan nitril yang mula meningkat pada penghujung Mac 2026 selepas mencatatkan penurunan selama empat suku berturut-turut.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pemulihan harga tersebut didorong oleh kenaikan kos bahan mentah, khususnya getah nitril butadiena (NBR), yang seterusnya dijangka menyokong prestasi pendapatan syarikat.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan telah menaikkan unjuran pendapatan Top Glove bagi tahun kewangan 2026 (TK26) sebanyak 42.8%.
“ASP yang lebih kukuh dijangka meningkatkan asas hasil, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan walaupun margin kekal stabil di bawah mekanisme pemindahan kos,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB turut menyemak naik harga sasaran saham Top Glove kepada 75 sen berbanding 54 sen sebelum ini, namun mengekalkan saranan “Pegang” berikutan keperluan untuk melihat bukti lebih jelas terhadap penyatuan industri yang mampan.
Menurut firma itu lagi, kenaikan harga yang dilaksanakan bertujuan memindahkan peningkatan kos bahan mentah kepada pelanggan, dengan harga sarung tangan lateks turut mencatatkan kenaikan walaupun pada kadar lebih sederhana.
Dalam perkembangan berkaitan, pengeluar sarung tangan terbesar China, Intco Medical, turut menaikkan harga pada April selain memperkenalkan keperluan deposit tunai bagi pesanan, mencerminkan keadaan bekalan bahan mentah yang semakin ketat.
Top Glove memaklumkan bahawa jumlah jualan menurun secara bulan ke bulan pada Mac susulan pendekatan berhati-hati pembeli selepas kenaikan harga, namun permintaan kembali stabil mulai April apabila pelanggan mula menerima paras harga baharu.
HLIB berpandangan, bekalan NBR yang semakin ketat serta syarat pembayaran pembekal yang lebih ketat boleh mempercepatkan proses rasionalisasi industri.
“Keadaan ini dijangka memberi kelebihan kepada pengeluar besar dengan kedudukan kewangan yang kukuh, manakala pemain kecil berdepan tekanan lebih tinggi dari segi bekalan dan aliran tunai,” jelasnya.
Tambahnya, pembekal kini menuntut deposit tunai sehingga 100% berbanding 20% hingga 30% sebelum ini, sekali gus mencerminkan persekitaran operasi yang semakin mencabar. - DagangNews.com








