Prospek pendapatan Leong Hup semakin cerah, penganalisis ramal hasil kekal kukuh disokong oleh kos rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pendapatan Leong Hup semakin cerah, penganalisis ramal hasil kekal kukuh disokong oleh kos rendah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Momentum pendapatan Leong Hup International Bhd dijangka kekal kukuh disokong oleh permintaan ayam yang tinggi dan kos rendah, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berpendapat positif terhadap prospek pengeluar ayam, telur dan makanan ternakan tersebut berdasarkan prestasi kewangannya yang kukuh pada 4QFY24. 

 

Leong Hup mencatat hasil sebanyak RM2.3 bilion pada 4QFY24 dan untung bersih RM166.3 juta yang memenuhi ramalan tahun penuh FY24 dan konsensus masing-masing pada 123% dan 144% daripada jangkaan tahun penuh. 

 

Kumpulan itu berkata pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah meningkatkan kos eksport makanan ternakan.

 

Walau bagaimanapun, Leong Hup yakin kumpulan akan mencapai prestasi yang memuaskan pada FY25.

 

MIDF menjangkakan keadaan pasaran yang menggalakkan di Indonesia, Vietnam, dan Filipina, ditambah pula dengan dolar AS yang lebih lemah, akan terus menyokong margin yang seterusnya mengembangkan pertumbuhan pendapatan syarikat itu.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) sebanyak 90 sen sesaham," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 


Dalam nota kajian yang berasingan, RHB Research percaya pendapatan Leong Hup akan kembali stabil dibantu oleh susut nilai dolar AS.

 

"Selain itu, kami percaya industri ayam itik kini memberi lebih manfaat kepada syarikat besar seperti Leong Hup berbanding syarikat kecil. 

 

"Ini memberi peluang kepada Leong Hup untuk mengambil lebih banyak bahagian pasaran," kata RHB Research. 

 

Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan TP lebih tinggi pada 98 sen sesaham. - DagangNews.com