Prospek LPI Capital diramal cerah disokong oleh penjualan silang insurans kepada pelanggan Public Bank  - MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek LPI Capital diramal cerah disokong oleh penjualan silang insurans kepada pelanggan Public Bank  - MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - MIDF Research percaya prospek LPI Capital Bhd akan bertambah baik didorong oleh penjualan silang insurans kepada pangkalan pelanggan Public Bank Bhd dan pembangunan produk yang memenuhi keperluan pelanggan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan merupakan pemangkin utama mengukuhkan prestasi LPI. 

 

Untung bersih LPI Capital Bhd meningkat kepada RM377.09 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24),berbanding dengan RM313.73 juta setahun sebelumnya, didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen insurans am.

 

Hasil bagi tahun itu juga meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.91 bilion, didorong oleh segmen pegangan pelaburan, yang menyaksikan peningkatan 42.4% atau RM13.3 juta, kepada RM44.70 juta.

 

Dalam pada itu, segmen insurans am mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.88 bilion pada FY24, berbanding RM1.87 bilion pada 2023, disokong oleh pendapatan dividen dan pendapatan faedah yang lebih tinggi yang diterima pada tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, MIDF berkata, faktor luaran, termasuk ketegangan geopolitik dan perubahan iklim, mungkin menjejaskan permintaan insurans dan kekerapan tuntutan.

 

"Namun begitu, kami yakin pihak pengurusan LPI akan terus menguruskan cabaran ini melalui perjanjian taja jamin berhemat dan perkhidmatan pelanggan.

 

"Kami memahami sinergi perniagaan antara LPI dan Public Bank sedang dalam proses automasi bagi meningkatkan saluran pengedaran kumpulan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Sementara itu, MIDF mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM14.52 dengan menekankan risiko terhadap saranan termasuk keputusan pelaburan lemah dan peningkatan dalam tuntutan. - DagangNews.com