Prospek Glomac kekal mencabar meskipun pemulihan dijangka pada 4QFY26, TA Research saran "JUAL" | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Glomac kekal mencabar meskipun pemulihan dijangka pada 4QFY26, TA Research saran "JUAL"

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek Glomac Bhd dilihat kekal mencabar dalam jangka pendek meskipun syarikat itu menjangkakan pemulihan prestasi pada suku akhir tahun kewangan 2026 (FY26), disokong oleh kemajuan projek sedia ada dan pelancaran baharu, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 (9MFY26), Glomac mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM7.7 juta, jauh di bawah jangkaan apabila hanya memenuhi kira-kira 47% daripada unjuran penuh tahun, terjejas oleh jualan hartanah dan bil kemajuan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Hasil turut menyusut 10% tahun ke tahun kepada RM146.4 juta, manakala keuntungan bersih teras merosot 42%, mencerminkan sumbangan yang lebih rendah daripada projek-projek di peringkat awal pembinaan serta pengurangan pendapatan operasi lain.

 

Namun, momentum pendapatan menunjukkan tanda pemulihan secara berperingkat apabila suku ketiga FY26 muncul sebagai tempoh paling kukuh setakat ini.

 

Keuntungan bersih meningkat 24% berbanding suku sebelumnya kepada RM5.2 juta, disokong oleh peningkatan bil kemajuan projek.

 

"Pengurusan menjangkakan prestasi akan terus bertambah baik pada suku keempat, didorong oleh normalisasi bil kemajuan di projek seperti Lakeside Residences dan Bandar Saujana Utama, selain sumbangan daripada pelancaran baharu termasuk Serai 2 @ SBCR, KEYS Fasa 2A dan Allamanda Saujana KLIA.

 

"Selain itu, campuran jualan yang lebih memihak kepada produk atas tanah dan komersial dijangka membantu mengekalkan margin kasar melebihi 30%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Menurut TA Research, dari sudut jualan, Glomac merekodkan jualan baharu sebanyak RM170 juta bagi 9MFY26, meningkat 5% tahun ke tahun. 

 

Namun, prestasi ini banyak disumbangkan oleh penjualan tanah bernilai RM97 juta di Puchong.

 

Tanpa transaksi tersebut, jualan sebenar dilihat lemah, dengan jumlah hanya RM73 juta, merosot 55% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Walaupun penjualan tanah itu meningkatkan jualan belum dibilkan kepada RM637 juta, yang memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh akan datang, sumbangan tersebut dilihat bersifat tidak berulang.

 

Sasaran jualan FY26 dilihat optimistik

Bagi FY26, syarikat menyasarkan jualan yang secara amnya setara dengan FY25 sebanyak RM332 juta, disokong oleh pelancaran projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM256 juta pada suku keempat.

 

Namun begitu, sasaran ini dilihat agak optimistik memandangkan semua pelancaran dijadualkan pada bulan terakhir tahun kewangan, sekali gus mengehadkan sumbangan kepada pendapatan semasa berikutan tempoh masa yang diperlukan untuk penukaran jualan dan kelulusan pembiayaan.

 

Sehubungan itu, TA Research telah menurunkan unjuran jualan FY26 kepada RM250 juta, selain menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 antara 6% hingga 14%.

 

Kedudukan kewangan kekal kukuh

Dalam jangka sederhana, prospek Glomac masih disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh dengan penggearan bersih yang minimum, tunai sebanyak RM208 juta serta program Sukuk bernilai RM3 bilion.

 

Selain itu, baki nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM6 bilion menyediakan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.

 

Syarikat juga terus meneroka peluang pengambilan tanah baharu di Lembah Klang dan Johor, dengan fokus kepada pembangunan bandar serta projek berputaran cepat bagi mempercepatkan penjanaan tunai.

 

Walaupun saham Glomac didagangkan pada penilaian rendah sekitar 0.2 kali nisbah harga kepada buku, potensi kenaikan dilihat terhad berikutan jangkaan pendapatan yang masih lemah berbanding rakan setara.

 

Sehubungan itu, TA Research mengekalkan harga sasaran RM0.33 sesaham dan saranan “JUAL”, mengambil kira prospek pemulihan yang masih tidak menentu dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com