KUALA LUMPUR 16 Mac – SumiSaujana Group Bhd diyakini akan mengekalkan momentum pertumbuhan perniagaannya walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, disokong pelaksanaan beberapa projek strategik serta peluasan operasi ke pasaran baharu, menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan berkenaan sedang melaksanakan perubahan strategik melalui mobilisasi kontrak di Pengerang, usaha sama pembuatan tol di Amerika Utara serta kemasukan ke dalam segmen bahan kimia berasaskan bio bermargin tinggi yang dijangka bermula pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).
“Semua langkah tersebut bersama usaha rasionalisasi kos di seluruh kumpulan dan pemusatan operasi di kompleks baharu di Puncak Alam, dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pengembangan margin keuntungan dalam jangka panjang.
“Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan SumiSaujana bagi FY26 sebanyak 21% berikutan ketiadaan kos penyenaraian sekali sahaja, jangkaan turun naik pertukaran asing yang lebih rendah serta peningkatan pertumbuhan output kepada 3%,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya hari ini.
Firma itu turut menyemak semula harga sasaran saham kepada RM0.132 daripada RM0.110 sebelum ini, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 0.77 sen dengan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 17.2 kali, sekali gus menaik taraf saranan saham tersebut kepada “Beli”.
Bagaimanapun, unjuran pendapatan FY27 diturunkan sebanyak 35% susulan jangkaan harga jualan yang lebih rendah dan normalisasi nilai ringgit, walaupun sebahagiannya diimbangi pertumbuhan output sekitar 4%.
Bagi tahun kewangan 2025, hasil SumiSaujana meningkat kira-kira 16% tahun ke tahun kepada sekitar RM184 juta hasil peningkatan pengeluaran, namun margin keuntungan kasar menyusut empat mata peratusan disebabkan campuran produk yang kurang menguntungkan serta harga jualan lebih rendah.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut merosot kepada sekitar RM13 juta berbanding RM21 juta pada FY24, terutamanya disebabkan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja serta kerugian pertukaran asing bersih masing-masing sebanyak RM1.4 juta dan RM3.6 juta.
SumiSaujana pada masa ini beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 40% daripada kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 32,500 tan melibatkan lima reaktor dan tiga tangki reaktor hibrid, dengan segmen pembuatan menyumbang sekitar 60% hingga 70% daripada hasil kumpulan.
Mercury Securities berkata walaupun konflik di Timur Tengah masih berterusan, pihaknya yakin operasi perniagaan kumpulan kekal stabil memandangkan kira-kira 80% hasilnya datang dari rantau Asia Pasifik dan Amerika, manakala aliran pesanan dari pelanggan di Timur Tengah seperti Kuwait dan Oman masih berterusan walaupun terdapat kelewatan logistik.
“Dari segi perkembangan operasi, kemudahan gudang baharu di Kompleks Bersepadu Puncak Alam seluas lebih 100,000 kaki persegi mula digunakan sejak suku ketiga FY25, dengan kerja pengubahsuaian pejabat korporat dan gudang dijangka siap serta mula digunakan sepenuhnya menjelang awal April 2026.
“Selain itu, operasi bagi kontrak bekalan khusus selama tiga tahun dengan Pengerang Refining Company Sdn Bhd dijangka bermula antara April hingga Mei 2026, melibatkan pembekalan bahan kimia Di-tert-butyl Polysulfide (TBPS) dan Ethyl Mercaptan (EM) serta perkhidmatan teknikal di tapak.
“Kumpulan itu juga merancang memulakan proses untuk mengkomersialkan bio-polyol berasaskan minyak sayuran melalui kerjasama strategik dengan CoolisT Group pada 2Q2026, di samping terlibat sebagai rakan teknologi dalam projek fasiliti Wet Gas Sulphuric Acid (WSA) di Indonesia bersama PT Kilang Pertamina Internasional, Topsoe A/S dan SPCI HELM,” katanya.
Dalam masa sama, SumiSaujana sedang memajukan strategi pembuatan tol di pasaran Amerika Syarikat dengan memanfaatkan paten bahan kimia penggumpalan pasir yang diperoleh daripada Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat (USPTO), bagi menempatkan pengeluaran secara tempatan dan mengurangkan kos penghantaran menjelang separuh pertama FY26.
Mercury Securities berkata, dalam jangka panjang kumpulan itu juga sedang mempelbagaikan perniagaan ke dalam aplikasi industri bernilai tinggi seperti pelincir berasaskan bio dan minyak transformer, disokong kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memanfaatkan polyol berasaskan sawit untuk memenuhi permintaan global terhadap bahan kimia mampan. - DagangNews.com








