KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek Eco World Development Group Bhd bagi baki tahun kewangannya yang berakhir 31 Oktober 2025 (FY25), kekal cerah berdasarkan pengiktirafan jualan tanah kepada Microsoft Corp serta kenaikan jualan kediaman daripada pelancaran baharu, kata penganalisis.
Pemaju hartanah itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM80.34 juta pada suku pertama berakhir 31 Januari 2025 (1Q25) berbanding RM69.63 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan meningkat sedikit sebanyak 0.3% berbanding tahun lalu kepada RM539.63 juta pada 1Q25 berbanding RM537.79 juta.
Kenanga Research berkata, pendapatan yang konsisten disebabkan oleh sumbangan stabil daripada fasa pembangunan yang aktif dan baru dilancarkan.
Namun, pertumbuhan dalam keuntungan bersih adalah disebabkan oleh margin kasar yang lebih tinggi selepas kos yang lebih rendah ditanggung semasa penghujung projek yang telah siap dan hampir siap.
Firma penyelidikan itu menyatakan, EcoWorld telah mencapai 55% daripada sasaran jualan FY25 sebanyak RM3.5 bilion setakat Februari 2025, dengan lebih separuh daripada jumlah jualan disumbangkan oleh segmen industri.
Baki jualan tahun ke tarikh sebanyak RM2.5 bilion terdiri daripada 35% kediaman dan 14% komersial.
EcoWorld mengumumkan dividen interim sebanyak satu sen untuk 1Q25.
MIDF Research pula berpendapat, prospek pendapatan jangka panjang EcoWorld akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan berulang susulan perjanjian bina-dan-sewa untuk pusat data dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd.
MIDF Research, yang mengekalkan saranan 'beli' ke atas EcoWorld dengan harga sasaran yang tidak berubah pada RM2.11 berkata, ia menjangkakan pendapatan yang lebih baik untuk syarikat itu kerana jualan tanah akan menyokong pertumbuhan pendapatan pada FY25.
CGS International Research (CGSI Research) berkata, kumpulan itu memberitahu, kira-kira 80% daripada RM402 juta hasil jualan tanah di Johor kepada Microsoft Payments (M) Sdn Bhd akan diiktiraf menjelang akhir tahun kewangan 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu turut menaikkan anggaran pendapatan asas setiap saham bagi EcoWorld untuk FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 2%, 26% dan 24%, dengan mengambil kira jualan tanah kepada Microsoft dan pegangan 20% mereka dalam pembangunan bandar Eco Grandeur dan Eco Business Park di Selangor.
CGSI Research mengulangi saranan 'tambah' ke atas kumpulan dengan harga sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM2.58, disokong oleh prospek pendapatan yang kukuh dari FY25 hingga FY27, penjualan tanah dan hasil dividen yang menarik.
Sementara itu, UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, ia menjangkakan jualan kediaman yang lebih tinggi pada separuh kedua FY25 (2H25).
"Walaupun ramalan jualan penuh tahun sebanyak RM4.2 bilion kekal tidak berubah selepas mengambil kira dua jualan tanah yang diumumkan sebelum ini, ia tidak memasukkan sumbangan potensi daripada projek masa depan yang sedang menunggu siap seperti Eco Botanic 3 di Kuala Langat, Selangor, dan di Negeri Sembilan," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Menurut UOBKH Research, kumpulan itu dijangka memuktamadkan pengambilalihan tanah Eco Botanic 3 dan perjanjian usaha sama (JV) dengan SD Guthrie Bhd dan NS Corp menjelang pertengahan tahun ini, sekali gus menyokong pertumbuhan jualan pada 2H25.
Ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas EcoWorld dengan harga sasaran yang tidak berubah pada RM2.37. - DagangNews.com








