KUALA LUMPUR 24 Feb - Prospek CSC Steel Holdings Bhd diramal kekal mencabar kesan peningkatan kos operasi termasuk potensi kenaikan harga elektrik, cukai karbon dan kenaikan gaji pekerja, kata TA Securities.
Katanya, kumpulan itu juga akan berdepan tekanan harga keluli di pasaran global kesan daripada kelemahan dalam sektor pembinaan di China selain kelemahan penggunaan domestik yang terus memberi tekanan.
Katanya, peningkatan eksport keluli China, walaupun langkah perlindungan perdagangan AS, boleh mengganggu lagi perdagangan antarabangsa.
Firma penyelidikan itu berkata, Eropah dan Amerika Utara menjangkakan pertumbuhan sederhana, disokong pemulihan ekonomi dan peningkatan permintaan secara beransur-ansur.
"Di Malaysia, industri keluli menghadapi peningkatan kos operasi disebabkan potensi kenaikan harga elektrik, cukai karbon dan kenaikan gaji.
"Selain itu, persaingan yang lebih sengit daripada import kos rendah, ditambah dengan pasaran global yang lebih lembut, boleh membebankan lagi sektor ini," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu melaporkan kenaikan 8.2% dalam keuntungan bersih kepada RM11.35 juta pada 4QFY24 berbanding RM10.49 juta setahun sebelumnya, didorong pergerakan kadar tukaran mata wang asing yang menggalakkan yang membantu menurunkan kos jualannya.
Hasil suku tahunan, bagaimanapun, turun 8.37% kepada RM345.02 juta daripada RM376.56 juta pada 4QFY23, berikutan persaingan yang semakin sengit daripada import berharga rendah — berikutan tamatnya duti anti-lambakan — meletakkan tekanan ke bawah pada harga keluli.
Walaupun pendapatan FY24 kumpulan lebih kukuh daripada jangkaan, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan pendapatan dengan menjangkakan kelemahan purata arga jualan(ASP) akan berterusan dalam tempoh terdekat.
TA Securities mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) RM1.02 sesaham. - DagangNews.com








