Propel Global raih kerja tambahan RM59.04 juta bagi projek pusat data di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Propel Global raih kerja tambahan RM59.04 juta bagi projek pusat data di Johor Bahru

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 MacPropel Global Berhad memperoleh kerja tambahan bernilai sehingga RM59.04 juta bagi pembangunan sebuah pusat data di Johor Bahru, sekali gus mengukuhkan lagi penglibatannya dalam segmen infrastruktur digital yang berkembang pesat.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Propel CMT Sdn. Bhd., yang menjalankan projek berkenaan secara usaha sama dengan China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. (CSCEM).

 

Kerja tambahan itu melibatkan pembinaan Consumer Landing Station termasuk semua kerja berkaitan serta penyempurnaan kerja infrastruktur bagi bangunan sokongan.

 

Kerja pembinaan telah bermula pada 22 Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 Mei 2026.

 

Menurut Propel Global, penganugerahan kerja tambahan tersebut susulan penglibatan awal kumpulan dalam projek yang sama, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan teknikal usaha sama berkenaan, standard pelaksanaan projek serta pematuhan keselamatan.

 

Syarikat itu menambah semua kerja akan dilaksanakan dengan mematuhi spesifikasi tender, keperluan kawal selia serta amalan terbaik industri, dengan pengurusan keselamatan kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh projek.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee, berkata kontrak tambahan itu mengukuhkan rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan kerja infrastruktur khusus bagi pembangunan pusat data.

 

“Penganugerahan kerja tambahan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan pelaksanaan projek, tadbir urus serta piawaian keselamatan kami.

 

“Seiring peningkatan pelaburan infrastruktur digital di Malaysia, kami kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin sambil memperkukuh kedudukan dalam segmen berpotensi tinggi ini,” katanya.

 

Kerja tambahan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Pada masa sama, Propel Global akan terus meneroka peluang dalam sektor infrastruktur digital, kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal, selaras dengan strateginya untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh keterlihatan pendapatan jangka panjang. - DagangNews.com