Prolintas Infra Business Trust lantik Idris Kechot sebagai Pengerusi berkuat kuasa 30 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prolintas Infra Business Trust lantik Idris Kechot sebagai Pengerusi berkuat kuasa 30 April 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 AprilProlintas Infra Business Trust mengumumkan pelantikan tokoh korporat berpengalaman, Datuk Idris Kechot sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa hari ini.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut turut memaklumkan beliau yang berusia 71 tahun itu dilantik sebagai anggota lembaga pengarah berstatus bukan bebas dan bukan eksekutif.


Idris merupakan lepasan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Stirling, di Britain selain Ijazah Sarjana Muda Sains (Agribisnes) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).


"Beliau membawa pengalaman luas yang merangkumi rantaian nilai amanah saham dan aspek pengurusan pelaburan, termasuk peranan penting dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB)," jelas Prolintas.


Kumpulan tersebut menambah, sepanjang kerjayanya, Idris pernah menyandang jawatan Naib Presiden Eksekutif Unit Amanah, serta Ketua dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).


Di samping itu katanya, Idris turut pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden yang merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bagi bahagian pengurusan aset di PNB sebelum ini.


Selain itu ujar Prolintas lagi, beliau juga pernah menjadi anggota lembaga pengarah dalam Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).


"Ketika ini, beliau merupakan ahli lembaga pengarah SD Guthrie Berhad serta Pengerusi Kumpulan Fima Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd," kata kumpulan tersebut.


Menurutnya, Idris tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama, selain tiada konflik kepentingan atau pegangan sekuriti dalam syarikat.


Pelantikan ini dilihat mampu memperkukuh kepimpinan strategik Prolintas, khususnya dalam memacu pertumbuhan dan pengurusan aset infrastruktur secara mampan. - DagangNews.com