KUALA LUMPUR 22 April – Pembangunan Terminal Marang sebagai hab logistik khusus bagi industri silika dijangka siap menjelang suku ketiga 2028, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab pemprosesan silika serantau.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan negeri dalam memperkukuh rantaian ekonomi industri hiliran dengan TRG Industrial Mineral (TIM) memainkan peranan utama sebagai peneraju sektor mineral di negeri itu.
Bagi segmen huluan dan pertengahan, Terengganu Silica Consortium bertanggungjawab memproses silika dengan ketulenan tinggi, manakala TRG Silika (Marang) pula memberi tumpuan kepada penghasilan silika ketulenan sangat tinggi dalam bentuk butiran halus dan serbuk, serta kristobalit yang digunakan untuk pelbagai kegunaan industri khusus.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata industri silika di negeri itu telah melalui transformasi signifikan daripada hanya menjual pasir silika mentah kepada pemprosesan berteknologi tinggi yang mampu meningkatkan ketulenan serta nilai komersial bagi pasaran seperti kaca dan elektronik.
“Penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh TIM turut menjadi pemangkin kepada inovasi, kawalan kualiti dan pembangunan produk bernilai tinggi, sekali gus membuka ruang kepada pelabur hiliran termasuk dalam sektor kaca solar dan semikonduktor.
“Selain itu, projek pengembangan di Marang dijangka membolehkan pemprosesan silika ke tahap lebih tinggi termasuk penghasilan kristobalit yang berpotensi digunakan dalam industri pergigian, penandaan jalan, cat dan salutan serta bahan kimia industri,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan negeri mengadakan lawatan rasmi ke kilang TRG Silika Setia pada 29 Mac 2026 yang disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah UPEN serta pengurusan tertinggi Terengganu Inc, Menteri Besar Incorporated (MBI) serta wakil agensi berkaitan.
Melalui lawatan itu, wakil kerajaan negeri didedahkan dengan perkembangan industri silika yang kini merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada huluan hingga hiliran termasuk pemprosesan bahan mentah kepada produk bernilai tinggi.
Seiring perkembangan industri silika, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang pembangunan industri Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai sumber ekonomi baharu dengan keluasan kawasan berpotensi mencecah 1.43 juta ekar dan anggaran sumber hampir 7.19 juta tan metrik yang dikenal pasti oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
“Bagi menyokong industri tersebut, sebuah Pusat Kecemerlangan (COE) akan ditubuhkan di UC TATI merangkumi pembangunan makmal analisis mineral, pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
“Dalam perkembangan lain, projek Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) di Teluk Kalong, Kemaman yang dibangunkan di bawah rangka kerja Third Party Access (TPA) kini dalam penilaian Suruhanjaya Tenaga susulan penyerahan dokumen oleh E&H Energy Sdn Bhd pada Disember 2025, dengan sasaran kelulusan Letter to Proceed (LTP) pada suku kedua 2026 dan dijangka siap serta beroperasi menjelang suku keempat 2029,” katanya.
Bekalan LNG bagi projek tersebut akan diperoleh daripada Amigo LNG di Port Guaymas, Mexico, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada risiko geopolitik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, projek itu masih berdepan cabaran seperti peningkatan kos pembangunan berikutan kebergantungan kepada bahan import, namun dijangka mampu merangsang rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Dalam sektor tenaga hijau, Terengganu telah merekodkan pelaburan sebanyak RM2.9 bilion bagi projek solar hibrid di Tasik Kenyir serta RM800 juta bagi projek solar di Pulau Bidong, dengan kapasiti penjanaan elektrik sekurang-kurangnya 1,012.91 MW, menyumbang kira-kira 20% kepada penjanaan tenaga hijau negara dan dijangka meningkat kepada 30% menjelang 2030.
Lebihan kapasiti tenaga boleh diperbaharui ini meletakkan Terengganu dalam kedudukan strategik bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik, malah berpotensi menjadi pengeksport tenaga hijau serta menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti pusat data hijau dan pembangunan hidrogen hijau, meskipun kerajaan akan terus menilai kesesuaian lokasi dan kesan guna tanah selaras garis panduan PLANMalaysia sebelum meluluskan projek baharu. - DagangNews.com








