KUALA LUMPUR 19 Mac - Prospek kukuh pertumbuhan Binastra Corporation Berhad bukan sahaja dipengaruhi oleh kemampuan kumpulan itu menembusi pasaran pelanggan baharu, kata RHB Research.
Sebaliknya kata firma penyelidikan itu pendedahan kumpulan itu kepada projek susulan daripada pelanggan baharu itu berpotensi melonjak pendapatan kumpulan untuk jangka pendek dan masa depan.
RHB memberi contoh, projek Subang Sentral bernilai bernilai RM316.5 juta yang diperoleh daripada HCK Capital Group hanya membabitkan Fasa 1.
"Memandangkan Subang Sentral merangkumi empat fasa (Binastra dianugerahkan fasa pertama) dengan nilai pembinaan keseluruhan melebihi RM1 bilion, Binastra berpotensi memperoleh baki tiga fasa sekiranya berjaya melaksanakan fasa pertama dengan baik, yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM700 juta berdasarkan pengiraan kami.
"Sebelum ini, Binastra turut terlibat dalam pemulihan Empire Residence, di mana tiga pembangunan kediaman telah memperoleh sijil siap dan pematuhan (CCC), kata RHB dalam nota kajian hari ini.
RHB menambah penganugerahan projek Subang Sentral juga satu pencapaian penting dalam usaha menghidupkan semula projek berkenaan yang sebelum ini terbengkalai.
Selain itu kata firma itu lagi, kejayaan Binastra menembusi pasaran pelanggan baharu dengan prospek memberangsangkan selepas memperoleh pelanggan baru, CPI Land, bagi projek Tuan Heritag3 di Kuala Lumpur pada FY26.
Bagi tahun kalendar 2026 (CY26), CPI Land merancang melancarkan tiga projek baharu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.4 bilion, termasuk pelancaran Tuan Straits Residency di Salak Selatan, Selangor.
Selain itu, syarikat itu turut merancang projek perumahan bertanah di Taman Selayang Mulia serta pembangunan pertama di Johor.
Binastra juga sebelum ini telah memperoleh projek sendiri bernilai kira-kira RM2.5 bilion di Johor, menunjukkan kumpulan tidak asing dengan pasaran negeri itu.
RHB mengekalkan unjuran pendapatan Binastra kerana kemenangan kontrak baharu selaras dengan andaian penambahan kontrak FY27E.
Harga sasaran dikekalkan pada RM2.72, berdasarkan gandaan P/E sasaran 17 kali bagi EPS FY27F serta premium ESG sebanyak 2%.
Pada masa ini, saham Binastra diniagakan pada 13 kali P/E FY27F, lebih rendah berbanding sekitar 16 kali semasa kitaran pembinaan CY17.
RHB berpendapat diskaun ini tidak wajar memandangkan kepelbagaian perniagaan Binastra melangkaui projek hartanah bukan kediaman.
Saham Binastra kekal sebagai pilihan “Beli” dengan potensi kenaikan sekitar 33% dan hasil dividen FY27F dianggarkan sekitar 3%. - DagangNews.com








