Projek solar Samaiden di Nippon Electric Glass kurangkan 6,900 tan pelepasan karbon setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek solar Samaiden di Nippon Electric Glass kurangkan 6,900 tan pelepasan karbon setahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 April – Samaiden Group Berhad telah menyiapkan satu projek pemasangan sistem solar fotovoltaik untuk Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd yang membuktikan keupayaan syarikat tersebut dalam pelaksanaan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi syarikat besar.

 

Projek ini melibatkan penyediaan penyelesaian tenaga bersih secara menyeluruh yang bersepadu, termasuk penggunaan sistem voltan sederhana bagi memastikan pelaksanaan dari peringkat reka bentuk sehingga siap beroperasi berjalan dengan lancar.

 

Sistem yang disiapkan merangkumi pemasangan solar di atas bumbung serta sistem building-integrated yang disepadukan dengan bangunan, menunjukkan pendekatan lebih praktikal dalam penggunaan tenaga boleh baharu di kawasan industri.

 

Gabungan kedua-dua sistem ini membolehkan penggunaan ruang bangunan dioptimumkan, di samping meningkatkan penjanaan tenaga bersih tanpa mengganggu operasi harian kilang.

 

Samaiden menjelaskan projek ini mencerminkan keupayaan syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga boleh baharu yang menyeluruh, merangkumi aspek teknikal, pelaksanaan serta penyepaduan sistem untuk memenuhi keperluan pelanggan industri.

 

Dengan siapnya projek ini, Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn. Bhd. dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 6,900 tan setahun, menyokong usaha ke arah operasi yang lebih lestari.

 

t
Datuk Ir. Chow Pui Hee

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Group Berhad, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan tenaga bersih yang berkesan.

 

Beliau berkata gabungan kedua-dua sistem itu menunjukkan semakin banyak syarikat kini bukan sahaja menetapkan aspirasi kelestarian, malah menterjemahkannya kepada pelaksanaan yang lebih nyata, tersusun dan berkesan dalam operasi perniagaan mereka.

 

Pengarah Urusan Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd Ken Hamajima berkata projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

 

Beliau berkata pelaksanaan projek ini menunjukkan komitmen syarikat dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta memastikan pertumbuhan perniagaan seiring dengan tanggungjawab kelestarian.

 


Samaiden berkata permintaan terhadap tenaga boleh baharu dijangka terus meningkat seiring dengan keperluan perniagaan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan mengurangkan kos operasi jangka panjang.

 

Majlis menyempurnakan projek tersebut turut diraikan sebagai tanda pencapaian penting dalam kerjasama antara Samaiden dan Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd selain mengukuhkan hubungan strategik kedua-dua pihak dalam bidang tenaga hijau. - DagangNews.com