KUALA LUMPUR 22 Okt - Aktiviti penyelenggaraan loji darat Dialog Group Berhad untuk PETRONAS sedang berjalan seperti yang dirancang, dengan sumbangan pendapatan ketara dijangka bermula pada separuh kedua tahun kewangan kumpulan berakhir 30 Jun 2026 (FY26).
CIMB Securities berkata, kerja-kerja persediaan bagi projek tersebut sudah dimulakan. Syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu kini sedang berunding dengan pelanggan bagi memuktamadkan skop dan jadual pelaksanaan projek.
“Walaupun butiran lanjut seperti kemudahan yang terlibat dan nilai kontrak tidak didedahkan, penemuan kami menunjukkan tugasan penyelenggaraan semasa berkemungkinan berkaitan dengan kemudahan PETRONAS di Kertih.
“Andaian ini disokong oleh laporan PETRONAS Activity Outlook 2025–2027, yang menyenaraikan penyelenggaraan loji Kumpulan 3 di Kertih pada suku keempat tahun ini, serta kehadiran operasi dan rekod prestasi kukuh Dialog di hab hiliran utama seperti Kertih, Melaka dan Gebeng dalam kitaran penyelenggaraan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menjangkakan tiada lebihan kos akan berlaku, dan pendapatan bagi FY26 akan disokong oleh aktiviti penyelenggaraan yang stabil pada kadar lebih tinggi selepas pembaharuan perjanjian perkhidmatan induk tiga tambah dua tahun antara Dialog dan PETRONAS pada Julai 2024.
“Kami menjangka sumbangan keuntungan daripada aktiviti penyelenggaraan sebanyak RM37.5 juta bagi FY26, meningkat kepada RM51.2 juta pada FY27 dan RM53.7 juta pada FY28, berbanding sumbangan tahunan biasa antara RM20 juta hingga RM25 juta sebelum pembaharuan perjanjian.
“Secara keseluruhan, kami melihat pembaharuan kontrak ini dan peningkatan aktiviti sebagai pemangkin utama yang akan menyokong pemulihan segmen hiliran Dialog," katanya.
Firma penyelidikan itu turut melaporkan, kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi aset medan kecil kluster Baram Junior (BJC) juga menunjukkan kemajuan yang baik.
“Secara keseluruhan, kemajuan kerja pembangunan medan, bajet serta garis masa berada dalam jangkaan dan dijangka mencapai pengeluaran gas pertama menjelang Januari 2027, sejajar dengan pelan pembangunan dan penamatan medan yang diluluskan PETRONAS awal tahun ini.
“Fasa kejuruteraan dan fabrikasi kini berjalan mengikut jadual, dengan barangan utama diperoleh dan kerja pemasangan luar pesisir dijangka bermula pertengahan 2026," katanya.
Dari segi kewangan, CIMB Securities berkata, bahagian Dialog dalam kos pembangunan keseluruhan projek bernilai AS$235 juta adalah kira-kira AS$165 juta, berdasarkan 70% kepentingan penyertaannya, yang akan dibiayai secara berperingkat dari FY25 hingga FY27.
Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan pendapatan ketara dijangka bermula FY27, apabila pengeluaran meningkat.
“Berdasarkan rizab yang didedahkan Dialog sebanyak 137 bilion kaki padu gas standard dan dua juta tong bersamaan minyak (boe), kami menganggarkan jumlah sumber boleh pulih sekitar 24.8 juta boe," katanya. - DagangNews.com








