Projek pembangunan semula UniRazak oleh Sime Darby Property berpotensi raih GDV lebih tinggi, HLIB kekal saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pembangunan semula UniRazak oleh Sime Darby Property berpotensi raih GDV lebih tinggi, HLIB kekal saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan "Beli" terhadap Sime Darby Property Bhd. dengan harga sasaran (TP) RM2.10, sambil berpandangan cadangan pembangunan semula tapak Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Jalan Tun Razak mampu meningkatkan lagi nilai pembangunan kasar (GDV) sekiranya syarikat memperoleh kelulusan nisbah plot yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran GDV semasa sebanyak RM900 juta dibuat berdasarkan andaian nisbah plot lapan kali, namun projek berkenaan berpotensi mencatat nilai pembangunan yang lebih tinggi sekiranya diberi kelulusan nisbah plot sehingga 10 kali di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

 

"Tanah komersial di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur layak dipertimbangkan untuk nisbah plot sehingga 10 kali, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Baru-baru ini, Sime Darby Property mengumumkan pengambilalihan Wisma UniRazak pada harga RM160 juta, melibatkan bangunan pejabat 15 tingkat di atas tanah pegangan bebas seluas 1.46 ekar di Jalan Tun Razak.

 

Tapak tersebut akan dibangunkan semula menjadi projek apartmen servis premium yang turut merangkumi komponen komersial, dengan pelancaran dijangka pada 2028 selepas tempoh penyewaan sedia ada berakhir pada 31 Oktober 2027.

 

Nilai Pengambilalihan Kompetitif

HLIB menyifatkan pengambilalihan itu sebagai menarik memandangkan kos tanah tersirat adalah kompetitif berbanding beberapa urus niaga strategik di kawasan berhampiran.

 

Firma itu menjelaskan, jika Sime Darby Property berjaya meningkatkan nisbah plot kepada 10 kali, kos tanah efektif akan berkurangan kepada RM252 bagi setiap kaki persegi mengikut nisbah plot (psf ppr) berbanding RM314 psf ppr pada andaian semasa, sekali gus lebih rendah daripada kos pemerolehan yang direkodkan oleh Mah Sing Group Bhd. dan Paramount Corp Bhd.

 

HLIB turut menyatakan lokasi projek mempunyai kelebihan strategik kerana terletak berhampiran hab pertukaran LRT/MRT Ampang Park, yang menyediakan akses terus ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Tun Razak Exchange (TRX) serta kawasan komersial utama lain.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Sime Darby Property menyasarkan harga jualan purata melebihi RM2,000 bagi setiap kaki persegi (psf), setanding dengan sasaran harga projek pembangunan semula Hotel Corus oleh Mah Sing.

 

Walaupun harga itu lebih tinggi berbanding penanda aras kawasan Jalan U-Thant sekitar RM1,300 psf dan harga jualan semula projek kediaman berhampiran sekitar RM1,600 psf, HLIB percaya Sime Darby Property mempunyai keupayaan untuk menarik permintaan kukuh.

 

Ini berdasarkan rekod prestasi syarikat dalam membangunkan kediaman premium menerusi projek KLGCC seperti Jendela Residences dan The Ophera, yang membuktikan keupayaannya menawarkan produk berbeza dari segi reka bentuk, kemudahan dan penjenamaan.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan unjuran pendapatan serta saranan "Beli" dengan harga sasaran RM2.10, sambil terus melihat Sime Darby Property sebagai syarikat yang menawarkan prospek pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com