KUALA LUMPUR 13 Julai – Pos Malaysia Bhd memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah platform simpanan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia membeli dan menyimpan emas dengan nilai permulaan serendah RM10.
Inisiatif itu membuka peluang lebih luas kepada golongan muda, keluarga, penyimpan baharu dan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mula membina simpanan jangka panjang.
Dibangunkan menerusi kerjasama bersama Go Capital Growth Sdn Bhd, platform itu membolehkan pengguna membeli, menjual dan mengumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran semasa tanpa memerlukan modal besar seperti pembelian emas fizikal secara konvensional.
Melalui Pos ArRahnu Gold-i, pengguna juga mempunyai fleksibiliti untuk menukar pegangan emas digital kepada emas fizikal atau wang tunai selain memantau perkembangan nilai simpanan mereka menerusi platform tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata emas sejak sekian lama dianggap rakyat Malaysia sebagai simbol keselamatan kewangan dan aset yang mampu mengekalkan nilai kekayaan dalam tempoh panjang.
"Melalui Pos ArRahnu Gold-i, kami menjadikan proses untuk memiliki emas lebih mudah dengan membolehkan pelanggan bermula secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka menerusi kaedah yang ringkas serta mampu milik.
"Dengan nilai permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina keselamatan kewangan jangka panjang melalui perkhidmatan dan rangkaian yang sudah mereka kenali," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Pos Malaysia, pelancaran itu menggabungkan kekuatan rangkaian runcit nasional serta capaian digital syarikat dengan kepakaran Go Capital Growth dalam produk emas bagi menyediakan pilihan simpanan emas yang lebih mudah dan fleksibel kepada masyarakat.

Antara ciri yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i termasuk paparan harga emas secara masa nyata, fungsi pemantauan portfolio serta kemudahan jual balik emas bermula daripada ambang minimum 0.5 gram.
Perkhidmatan itu boleh diakses melalui saluran dalam talian dan cawangan Pos ArRahnu terpilih di seluruh negara.
Pos Malaysia berkata, emas yang ditawarkan menerusi platform berkenaan disokong dengan pengiktirafan dan pengesahan daripada badan berkaitan termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM Berhad serta Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia bagi memastikan aspek ketulenan dan kualiti emas berada pada tahap yang diyakini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth, Fong Pok Yee berkata kerjasama strategik itu akan membantu menjadikan produk emas yang dipercayai serta mempunyai pengesahan lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.
Pelancaran Pos ArRahnu Gold-i turut memperkukuh pengalaman lebih sedekad Pos ArRahnu dalam perkhidmatan berkaitan emas, selain menjadi sebahagian daripada usaha Pos Malaysia memperluaskan perniagaan melangkaui perkhidmatan pos dan logistik kepada perkhidmatan kewangan serta tawaran bernilai tambah berasaskan digital.
Ketua Pos ArRahnu, Mohammed Zubair Peerpulavar pula berkata, pihaknya menyasarkan antara 50,000 hingga 70,000 pelanggan dalam tempoh tahun pertama operasi, sejajar dengan usaha memperluaskan akses pemilikan emas kepada lebih ramai rakyat.
Pos ArRahnu Gold-i kini tersedia menerusi platform digital dan cawangan Pos ArRahnu terpilih.
Pelanggan hanya perlu melakukan pendaftaran dalam talian, melengkapkan proses pengesahan identiti elektronik (e-KYC) sebelum boleh mula membeli emas dengan nilai serendah RM10. - DagangNews.com








