Malacca Securities: Kontrak baharu kerja pusat data di Indonesia buka peluang pertumbuhan serantau Eita | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities: Kontrak baharu kerja pusat data di Indonesia buka peluang pertumbuhan serantau Eita

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiEita Resources Berhad dilihat berada pada landasan bagi mengukuhkan pertumbuhan serantau apabila memperoleh kontrak pusat data (DC) bernilai RM20.5 juta di Indonesia.

 

Menurut Malacca Securities, kejayaan terbaharu berkenaan dilihat membuka peluang kepada kumpulan tersebut untuk dapat menembusi pasaran luas di negara jiran itu yang sedang berkembang pesat. 

 

Walaupun sumbangan kewangan kontrak itu dijangka sederhana dalam jangka pendek, ia berpandangan tender tersebut merupakan pencapaian strategik yang mampu memperkukuh prospek jangka panjang.

 

"Kontrak diraih anak syarikat Eita, Furutec Electrical Sdn Bhd, melibatkan kerja pembekalan dan penghantaran sistem 'busduct proprietary' bagi sebuah projek DC di Indonesia," kata firma tersebut.

 

Ujar Malacca Securities, kontrak bermula pada Jun 2026 dan dijangka siap menjelang September 2026 itu dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Bagaimanapun, ia menyifatkan impak daripada kontrak tersebut sebagai neutral terhadap unjuran pendapatan kerana nilainya sudah pun diambil kira dalam andaian hasil syarikat itu bagi FY26.

 

EITA_DagangNews2026

 

Firma itu namun menegaskan kontrak berkenaan merupakan pemangkin penting kepada perniagaan apabila menandakan pengembangan jejak Eita di pasaran DC Indonesia, sebelum meluas ke rantau Asia Tenggara.

 

"Tempoh pelaksanaan yang singkat hanya empat bulan membolehkan penukaran hasil kepada keuntungan berlaku pantas dan menyokong prestasi kewangan pada suku keempat FY26," ujar Malacca Securities.

 

Tambahnya, berdasarkan andaian margin keuntungan bersih secara konservatif sekitar 5%, projek terbaharu itu dianggarkan mampu menyumbang kira-kira RM1 juta kepada keuntungan bersih kumpulan.

 

Justeru, ia mengekalkan unjuran pendapatan teras Eita pada FY26 memandangkan sumbangan kontrak tersebut dimasukkan dalam jangkaan prestasi kewangan sedia ada dan tidak mengubah saranan 'beli'.

 

Malacca Securities turut mengekalkan harga sasaran (TP) pada 60 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 11 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27.

 

Syarikat itu katanya, terlibat dalam pembuatan, pemasaran, pengedaran dan penyelenggaraan sistem elektrik serta elektronik, dengan operasi termasuk di rantau Timur Tengah. - DagangNews.com