Parkland mohon penyenaraian di Pasaran Utama, dana IPO untuk beli tanah dan biayai projek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Parkland mohon penyenaraian di Pasaran Utama, dana IPO untuk beli tanah dan biayai projek

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Julai - Pemaju hartanah berpangkalan di Melaka, Parkland Bhd., memfailkan permohonan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk pemerolehan tanah baharu, membiayai projek pembangunan serta membolehkan pemegang saham sedia ada melaksanakan tawaran jualan saham.

 

Menurut draf prospektus syarikat, sebahagian hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu akan digunakan untuk membiayai pemerolehan tanah di Semenanjung Malaysia bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan, walaupun syarikat masih belum mengenal pasti aset atau memulakan rundingan dengan mana-mana pihak.

 

Parkland turut memeterai perjanjian usaha sama dengan Cahaya Bumimas Sdn. Bhd. bagi memperoleh hak membangunkan tanah seluas 248 ekar di Johor menjadi sebuah hab komersial dan perindustrian.

 

Di bawah perjanjian itu, Cahaya Bumimas berhak menerima bayaran minimum sebanyak RM219.5 juta secara ansuran, dengan sebahagian hasil IPO akan digunakan bagi memenuhi komitmen pembayaran tersebut.

 

Selain itu, dana yang diperoleh daripada penyenaraian juga akan digunakan untuk membiayai sebahagian keperluan modal kerja bagi projek pembangunan sedia ada dan yang dirancang, yang dianggarkan memerlukan pelaburan hampir RM1.2 bilion.

 

Diasaskan oleh veteran industri hartanah, Datuk Tan See Sen, Parkland kini mempunyai sembilan projek pembangunan aktif, terdiri daripada enam projek perbandaran dan tiga projek kediaman, meliputi keluasan 779 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM5.9 bilion.

 

Syarikat yang turut memiliki bahagian pembinaan sendiri itu mencatatkan prestasi kewangan kukuh apabila merekodkan keuntungan bersih RM172 juta daripada hasil sebanyak RM746 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir Jun 2025.

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran jualan saham yang dilaksanakan serentak dengan IPO akan disalurkan sepenuhnya kepada Excel Venture Capital Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan persendirian yang dimiliki hampir dua dozen pemegang saham termasuk Pengarah Urusan Parkland, Datuk Tan See Sen.

 

Hong Leong Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, ejen penempatan dan penaja jamin bagi pelaksanaan IPO berkenaan.- DagangNews.com