KUALA LUMPUR 13 Feb — Privasia Technology Berhad telah memperoleh kontrak RM9.17 juta daripada Kementerian Sumber Manusia untuk program pemodenan bengkel yang bakal dilaksanakan kementerian tersebut.
Ini termasuklah kontrak bagi kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengkonfigurasian, pengujian penggunaan serta pentauliahan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Privasia berkata bahawa anak syarikat milik penuhnya, Privasia Sdn Bhd berjaya menerima kontrak berkenaan pada Rabu.
Tempoh kontrak daripada kementerian berkenaan pula menurutnya, dilaporkan ialah 24 bulan yang hanya akan bermula pada 1 Mac ini dan tamat pada 28 Februari 2027.
Kumpulan syarikat itu menjangkakan kontrak baharu ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.8 juta, turun sebanyak 23.76 peratus daripada RM2.36 juta pada setahun lalu.
Ia berikutan hasil yang merosot sebanyak 20.67 peratus kepada sejumlah RM62.97 juta, daripada perolehan RM79.37 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Saham Privasia di bursa ditutup tidak berubah pada 11 sen pada hari Rabu, dan memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM74.3 juta. - DagangNews.com








