KUALA LUMPUR 26 Jun - Prestasi kewangan Petronas Chemicals Group Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) diramal lemah berikutan kerugian tukaran mata wang asing yang jauh lebih besar selain cabaran operasi berterusan, kata CGS International.
Katanya, kerugian tukaran mata wang asing sahaja dianggar mencecah sehingga RM400 juta pada 2QFY25 dan ia lebih besar berbanding suku sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, suku berikutnya kumpulan itu dijangka mencatatkan keputusan lebih baik tetapi tidak memberikan unjuran khusus untuk suku tersebut.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 (FY25), CGS International meramalkan keuntungan bersih Petronas Chemicals dianggar merosot kepada RM600 juta berbanding RM1.18 bilion pada tahun sebelumnya.
Dolar AS telah menyusut hampir 5% berbanding ringgit sejak akhir Mac hingga kini. Petronas Chemicals mengeksport produknya terutamanya dalam dolar AS dan sebahagian daripada pinjamannya juga dalam mata wang tersebut.
Selain itu, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) juga tidak beroperasi sepanjang suku tersebut disebabkan isu teknikal dalam pengeluaran sejak Februari akibat kekurangan bahan suapan.
Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, usaha sama 50:50 dengan Saudi Aramco yang mengendalikan loji petrokimia di Pengerang, dijangka mencatatkan kerugian operasi yang lebih besar pada suku kedua, menurut CGS International.
Bahagian olefin dan derivatif Petronas Chemicals turut terjejas akibat penutupan tidak dirancang, manakala bahagian baja dan metanol juga berkemungkinan terkesan oleh hentian sementara operasi (pitstops) di loji Bintulu dan Labuan.
“Jika terdapat sebarang pemulihan dalam pendapatan, kami menjangkakan ia akan berlaku pada 3QFY2025,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga menaikkan saranannya kepada "pegang" berbanding "kurang" susulan kejatuhan harga saham Petronas Chemicals baru-baru ini.
Saham Petronas Chemicals susut lebih satu pertiga daripada nilainya sejak awal 2025 apabila pelabur dan penganalisis semakin pesimis selepas prestasi suku pertama yang lebih lemah daripada jangkaan.- DagangNews.com








