Prestasi kewangan jangka pendek SFP Tech diramal semakin lemah, kata HLIB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan jangka pendek SFP Tech diramal semakin lemah, kata HLIB 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - SFP Tech Holdings dijangka catat prestasi kewangan jangka pendek yang lemah walaupun syarikat itu sedang menyelaraskan portfolio pelanggannya sebagai salah satu langkah strategi.

 

Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) yakin prestasi SFP akan beransur pulih dalam jangka masa panjang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatnya disokong oleh sumbangan daripada EST Exhibit Automation Sdn Bhd, penyiapan Loji Pembuatan 3 dan penambahan 41 mesin pengilangan CNC baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Ini akan menambah lagi bilangan mesinnya dan secara kumulatif meningkatkan kapasiti pengeluaran maksimum kumpulan kira-kira 25.3%. 

 

"Kapisiti pengeluarannya meningkat daripada 520,400 jam setahun kepada 652,100 jam setahun," katanya dalam satu nota kajian.


HLIB berkata, prestasi SFP pada suku keempat 2024 (S4 2024) mengheret pendapatan teras tahun kewangan 2024 (FY24) kepada RM35 juta. 


HLIB Research berkata SFP Integration Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dijangka menerajui pertumbuhan kumpulan dalam ruang fabrikasi wafer semikonduktor barisan hadapan (FOL) terutamanya dalam peluang perniagaan strategik peralatan FOL.


"Kumpulan itu akan terus mengembangkan penyertaannya dalam kedua-dua modul peralatan nilai tambah tinggi dan fabrikasi bahagian kompleks," katanya.

 

HLIB Research mengurangkan unjuran pendapatannya terhadap SFP sebanyak 37% bagi FY25 dan FY26.

 

Sehubungan dengan itu, firma tersebut menurunkan saranan SFP daripada 'beli' kepada 'tahan' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak 41 sen sesaham. - DagangNews.com