Prestasi kewangan Axiata kembali pulih, catat untung bersih lebih RM946 juta pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan Axiata kembali pulih, catat untung bersih lebih RM946 juta pada FY24

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Prestasi kewangan Axiata Group Bhd kembali pulih dengan mencatat untung bersih sebanyak RM946.82 juta pada tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24), berbanding dengan kerugian RM1.99 bilion yang direkodkan pada tahun lepas. 

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih tersebut didorong oleh sumbangan hasil daripada PT XL Axiata Tbk, Edotco Group Sdn Bhd, Robi Axiata Limited and Smart Axiata Co Ltd.  

 

Axiata mencatat hasil yang sederhana, meningkat 0.07% tahun-ke-tahun kepada RM22.33 bilion pada FY24 daripada RM22.32 bilion pada FY23. 

 

Katanya, semua syarikat di bawah Axiata mencatat keuntungan kecuali syarikat telco digital di Sri Lanka dan syarikat jalur lebar tetap di Indonesia.

 

"XL mencatat prestasi kewangan pada FY24, tetapi pasaran mudah alih dan struktur dalam jalur lebar rumah menjadi kebimbangan pada separuh kedua 2024 (2H24).

 

"Hasil XL melonjak 6.4% didorong oleh peningkatan dalam data mudah alih yang mengakibatkan purata hasil campuran setiap pengguna (ARPU) meningkat sebanyak 4.9% dan sumbangan daripada internet rumah pada suku keempat 2024 (4Q24) dan penangguhan ServeCo di Link Net," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Dalam pada itu, Axiata berkata, pendapatan FY24 Robi mendatar pada 0.1% terjejas oleh cuaca buruk seperti banji dan cabaran ekonomi di Bangladesh pada 2H24.

 

Dialog Axiata PLC mengakhiri tahun ini dengan prestasi suku yang lebih kukuh walaupun pendapatan FY24 merosot sebanyak 7.3%. 

 

Pendapatannya jatuh sebanyak 38.1% dipengaruhi oleh kos kewangan yang lebih tinggi, keuntungan tukaran ata wang asing (forex) lebih rendah dan perbelanjaan cukai tinggi.

 

Selain itu, hasil FY24 Edotco meningkat 2.3% didorong oleh kira-kira 4,000 penyewaan tambahan yang terdiri daripada 1,240 menara tambahan kasar dan 2,747 penyewaan lokasi bersama.

 

Cabang fintech Axiata Boost mencatat untung bersih kukuh pada FY24,  walaupun membelanjakan kos permulaan tambahan bagi menubuhkan Boost Bank. 

 

Hasilnya meningkat 2.5% pada FY24 berikutan sumbangan yang lebih kukuh daripada Boost Credit dan Boost Connect.

 

Bagi 4Q24, Axiata mengecilkan kerugian bersihnya kepada RM224.77 juta berbanding kerugian RM695.02 juta pada tempoh sama pada tahun lalu, manakala kumpulan itu mencatat hasil lebih rendah sedikit pada RM5.36 bilion berbanding RM5.89 bilion pada FY23.

 


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata, Vivek Sood pula berkata, penggabungan XL Axiata-Smartfren dijangka siapa pada 2Q25.

 

“Walaupun penggabungan itu menghadapi cabaran, termasuk persaingan yang semakin sengit di Indonesia dan Malaysia, ketidaktentuan di Bangladesh, dan keperluan pembiayaan bagi pengembangan gentian Indonesia, kami tetap optimis.

 

"Setelah penggabungan ini siap, kami menjangkakan peluang yang muncul daripada sinergi direalsasikan daripada penggabungan dan pengoptimuman portfolio berterusan serta pengewangan aset," katanya.

 

Sementara itu, Axiata mengisytiharkan dividen kedua sesaham sebanyak 5sen, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi FY24 kepada 10 sen. - DagangNews.com