KUALA LUMPUR 18 Mei – Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatatkan keuntungan bersih RM294.05 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM154.27 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan prestasi kira-kira 90.6% itu didorong terutamanya oleh keputusan kewangan yang lebih baik daripada segmen pembuatan serta isu keuntungan daripada jualan tanah berjumlah RM126.8 juta.
Selain itu, ia mencatatkan hasil bersih RM112.6 juta menerusi lebihan pelupusan aset, termasuk sebuah pesawat berjumlah RM7.3 juta dan pengurangan kerugian pertukaran mata wang asing (forex).
"Pendapatan meningkat 3.3% kepada RM6.55 bilion daripada RM6.34 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 52.3% kepada RM411.17 juta," jelas KLK dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Justeru, berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen secara tunggal peringkat interim sebanyak 20 sen sesaham dan dibayar pada 28 Julai 2026.
Walaupun mencatatkan pertumbuhan keuntungan secara keseluruhan, beberapa segmen utama ada cabaran tersendiri, antaranya perladangan apabila keuntungan merosot 21.1% kepada RM358.5 juta.
Situasi disebabkan harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah iaitu RM3,688 setiap tan dan kerugian bersih RM121.5 juta daripada perubahan nilai saksama kontrak derivatif.
"Segmen pembuatan mencatatkan kerugian lebih luas iaitu RM42.4 juta, berbanding kerugian RM38.3 juta bagi 2QFY25, berikutan sumbangan keuntungan rendah daripada bahagian oleokimia," katanya lagi.
Bagaimanapun ujar KLK, bagi tempoh enam bulan, segmen ini menunjukkan pemulihan dengan pengurangan kerugian bersih kepada RM394,000 berbanding kerugian RM91.6 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam pada itu tambah kumpulan tersebut, keuntungan segmen pembangunan hartanah merosot kira-kira 47.2% kepada hanya RM1.9 juta, selaras dengan hasil yang lebih rendah iaitu sebanyak RM25.7 juta.
Menyentuh prospek masa depan, ia kekal optimis memberikan prestasi operasi lebih baik, disokong operasi perladangan yang berdaya tahan dengan sumbangan sektor hiliran semakin bertambah baik.
"Harga MSM dijangka mendapat sokongan teguh di atas paras RM4,400 setiap tan, dipacu oleh mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi serta harga minyak mentah semakin meningkat," jelas KLK.
Kumpulan berkenaan juga dijangka mendapat manfaat daripada pengiktirafan awal perakaunan ekuiti untuk syarikat bersekutunya, MP Evans Group PLC. - DagangNews.com
Prestasi jualan tanah pacu untung bersih KLK naik 90.6% kepada RM294 juta bagi 2QFY26

Oleh AMREE AHMAD







