KUALA LUMPUR 20 Mei – Prestasi suku pertama HE Group Berhad dilihat masih lemah disebabkan isu kelembapan dalam beberapa segmen utama kejuruteraan bangunan, menurut analisis Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut namun berkata, momentum kontrak baharu yang semakin rancak dijangka menjadi pemangkin utama pemulihan pendapatan syarikat tersebut bermula separuh kedua tahun ini.
Berdasarkan situasi semasa, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 57 sen sesaham selepas melihat prospek pertumbuhan dijangka lebih kukuh dipacu peningkatan buku tempahan baharu.
"Kami mendapati keuntungan bersih teras HE Group bagi 1QFY26 susut 12% tahun ke tahun (YoY) kepada RM2.5 juta, manakala hasil merosot 17% kepada RM26.2 juta," jelas Phillip Capital dalam notanya.
Katanya, kelemahan hasil kumpulan tersebut dikesan berpunca daripada penurunan mendadak aktiviti dalam segmen sambungan dan pengubahsuaian peralatan elektrik serta kerja sistem bangunan lain.
Antaranya tambah firma penyelidikan itu, segmen 'electrical equipment hook-up and retrofitting' yang dikenal pasti merosot ketara sebanyak 86% manakala segmen kerja bangunan lain susut 82%.
Bagaimanapun ujar Philip Capital, prestasi lemah HE Group itu sebahagiannya berjaya diimbangi semula menerusi pertumbuhan kukuh dalam segmen sistem pengagihan tenaga yang meningkat 62% YoY.
"Walaupun keuntungan 1QFY26 hanya mencapai 17% daripada unjuran penuh, keputusan itu masih selari jangkaan memandangkan pengiktirafan hasil dijangka lebih ketara pada separuh kedua," katanya.

Di samping itu jelas firma penyelidikan tersebut, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal stabil pada 12.1% kerana campuran projek yang menguntungkan.
Menurut Phillip Capital, HE Group pada ketika ini mencatat peningkatan yang ketara dalam perolehan kontrak baharu dengan jumlah kemenangan projek baharu setakat tahun ini (YTD) mencecah RM126 juta.
"Terbaharu, syarikat ini memperoleh kontrak bernilai RM20 juta bagi sistem pengagihan tenaga untuk pengeluar produk memori 'NAND flash' dengan tempoh siap dijangka pada November 2026," katanya.
Tender berkenaan ujar firma tersebut, dijangka dapat memberikan margin bersih sekitar 9% dan akan meningkatkan lagi keterlihatan pendapatan kumpulan itu secara positif dalam tempoh sederhana.
Philip Capital berkata, susulan kemenangan kontrak baharu itu, buku tempahan terkumpul HE Group kini naik kepada RM170 juta yang dijangka menyokong pertumbuhan hasil hingga separuh kedua 2026.
Justeru ia mengekalkan unjuran kewangan syarikat tanpa perubahan dan berpandangan penilaian saham masih menarik kerana diniagakan sekitar 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) unjuran FY27.
"Kedudukan kewangan syarikat kekal kukuh dengan tunai bersih mewakili 38% daripada permodalannya, dan kontrak baharu berpotensi menjadi pemangkin utama penarafan semula harga saham,” jelasnya.
Bagaimanapun, Phillip Capital memberi amaran antara risiko utama kepada HE Group termasuk kelembapan penambahan buku tempahan, kelewatan projek dan peningkatan kos operasi. - DagangNews.com








