Prestasi hartanah Kerjaya Prospek disokong penyiapan projek dan pelancaran baharu FY27 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi hartanah Kerjaya Prospek disokong penyiapan projek dan pelancaran baharu FY27 - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - Walaupun tidak merancang sebarang pelancaran baharu di atas tanah seluas 89 ekar bagi tahun kewangan 2026 (FY26), Kerjaya Prospek Group Bhd dijangka disokong oleh penyiapan projek sedia ada serta prospek pembangunan baharu menjelang FY27.

 

Menurut RHB Research, penyiapan projek The Vue dan Papyrus pada FY26 berpotensi membolehkan pembalikan sebahagian peruntukan (writeback of provisions), yang dijangka memberi sokongan kepada segmen hartanah kumpulan pada FY26F dan FY27F.

 

Katanya, keadaan itu dilihat mampu membantu prestasi bahagian hartanah sebelum pelancaran projek baharu bermula pada FY27.

 

“Pelancaran akan datang melibatkan tanah di Jalan Puchong seluas 7.4 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM800 juta, serta di Tanjung Bungah seluas 4.5 ekar dengan GDV kira-kira RM830 juta,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurutnya, perkembangan tersebut dijangka menjadi pemangkin jangka sederhana kepada pendapatan kumpulan, khususnya selepas kitaran penyiapan projek sedia ada.

 

Penganalisis turut berpandangan strategi pemulihan nilai melalui penyiapan projek dan pelancaran berfasa dapat menyokong kestabilan aliran pendapatan sektor hartanah kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Sementara itu RHB Research yang mengekalkan saranan "Beli" dengan harga sasaran RM3.11 menjangkakan margin keuntungan selepas cukai (PAT) bagi projek terbaharu di Seremban berada dalam julat 8% hingga 10%.

 

Kerjaya Prospek mengumumkan ia telah memperoleh kontrak bernilai RM174.2 juta daripada pelanggan baharu, RB Land yang merupakan anak syarikat IJM Land, bagi pembinaan blok apartmen servis 44 tingkat yang mengandungi 778 unit di Seremban, dikenali sebagai IKON Residences.

 

Ini merupakan kemenangan kontrak keempat KPG bagi tahun kewangan 2026 dan yang kedua diperoleh di Negeri Sembilan.

 

Kontrak sulung di negeri itu adalah bernilai RM98.8 juta daripada Sena Letrik (M) bagi kerja-kerja bangunan utama, mekanikal & elektrikal serta kerja luar untuk projek hospital swasta di Bandar Seremban Utama, Seremban 2.

 

Setakat ini, jumlah kemenangan kontrak baharu bagi FY26 telah mencecah RM976.5 juta, bersamaan 49% daripada sasaran penambahan kontrak FY26F sebanyak RM2 bilion, manakala baki buku pesanan kumpulan kekal sekitar RM4.3 bilion.

 

RHB Research berkata, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan memandangkan kontrak terbaharu ini telah dimasukkan dalam andaian penambahan kontrak FY26.

 

Sehubungan itu, harga sasaran SOP RM3.11 kekal tidak berubah, yang turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2%. Penilaian segmen pembinaan adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 16 kali, yang dianggap wajar memandangkan margin PAT sekitar 10% dan pulangan ekuiti (ROE) melebihi 10%.

 

RHB Research Penganalisis berkata, sebarang kemenangan kontrak daripada sektor industri berpotensi menjadi pemangkin penilaian semula (rerating catalyst), merujuk kepada kejayaan kontrak bersama Samsung C&T sebelum ini untuk projek Texas Instruments di Melaka. - DagangNews.com