KUALA LUMPUR 18 Dis – Prestar Resources Bhd bercadang memperoleh sebuah hartanah perindustrian pegangan bebas di Serendah Technology Park pada harga RM17 juta daripada Landmark Concord Resorts Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan pengurusan kanan kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk keluli itu berkata pembelian tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh tiga anak syarikatnya iaitu Prestar Precision Tube Sdn Bhd, Dai Dong Steel Sdn Bhd dan Prestar Engineering Sdn Bhd.
Hartanah berkenaan merangkumi tanah perindustrian seluas kira-kira 72,356 kaki persegi, tambahan tanah seluas 23,357 kaki persegi serta sebuah bangunan kilang dengan keluasan lantai kasar sekitar 33,350 kaki persegi.
Menurut Prestar, harga indikatif RM17 juta itu ditetapkan berdasarkan nilai pasaran yang ditentukan oleh penilai bebas menggunakan kaedah perbandingan.
Kumpulan itu berkata, pembiayaan pemerolehan akan dibuat sepenuhnya melalui dana dalaman tanpa mengambil alih sebarang liabiliti.
Prestar turut memaklumkan transaksi tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Menurut syarikat, pembelian hartanah itu bertujuan menyediakan aliran pendapatan yang lebih stabil, mengurangkan pendedahan tunai terbiar, mempelbagaikan aset perbendaharaan selain deposit tetap, serta menawarkan potensi peningkatan nilai modal melalui pemilikan hartanah perindustrian pegangan bebas.
Transaksi berkenaan dijangka diselesaikan dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli, tertakluk kepada pemenuhan semua syarat terdahulu yang ditetapkan. - DagangNews.com








