KUALA LUMPUR 25 Mac — Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah kini menjadi pemacu utama kenaikan harga aluminium global, sekali gus mewujudkan risiko gangguan bekalan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, konflik itu menolak harga aluminium di Bursa Logam London (LME) melepasi AS$3,400 (RM13,463) satu tan, meningkatkan kemungkinan defisit inventori.
Bagaimanapun menurut firma penyelidikan itu, Press Metal Aluminium Holdings Berhad berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan situasi ini, disokong oleh harga aluminium yang lebih mahal.
"Kos alumina yang lebih rendah, permintaan kukuh dari rantau Asia Pasifik, dan gangguan di Selat Hormuz berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan sehingga 2.29 juta tan," katanya dalam nota.
Sekiranya krisis di Teluk Parsi itu semakin berpanjangan, HLIB menjangkakan defisit stok aluminium di pasaran antarabangsa boleh meningkat kepada kira-kira 2.76 juta tan dalam senario lebih buruk.
Rantau itu menyumbang sebanyak 9% daripada pengeluaran aluminium global tetapi sangat bergantung kepada import bahan mentah, menjadikan operasi peleburan amat terdedah kepada gangguan logistik.
Beberapa pengeluar utama jelasnya, sudah mula terkesan, termasuk Qatalum dan Aluminium Bahrain yang terpaksa mengurangkan kapasiti, manakala Emirates Global Aluminium berdepan risiko tinggi.

"Pengeluar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu bergantung kepada bahan mentah import, dan pada masa sama, trend permintaan juga meningkat di pasaran Barat seperti Kesatuan Eropah (EU)," tambah HLIB.
Blok ekonomi tersebut selain Amerika Syarikat (AS) sendiri sebenarnya selama ini bergantung besar kepada import aluminium dari Timur Tengah, sekali gus mendorong kadar premium harga lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata, Press Metal turut mendapat manfaat daripada peningkatan tempahan dari Asia Pasifik apabila pembeli mencari sumber bekalan alternatif dalam keadaan gangguan semasa.
Dari sudut kos pula tambah HLIB, harga alumina dijangka kekal rendah sekitar AS$300 (RM1,188) satu tan susulan lebihan bekalan struktur, yang dijangka menyokong margin keuntungan syarikat tersebut.
"Selain itu, kumpulan ini difahamkan sudah melindung nilai kira-kira 65% daripada pengeluaran aluminiumnya pada harga antara AS$2,750 (RM10,893) hingga AS$2,800 (RM11,090) satu tan," jelasnya.
Langkah awal dilaksanakan Press Metal itu kata firma penyelidikan tersebut, memberikan kestabilan pendapatan, manakala baki 35% membolehkan syarikat meraih manfaat daripada harga pasaran semasa.
Sehubungan itu, HLIB menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 13% dan 18.7%, di samping menaik taraf penarafan saham kepada 'beli' daripada 'pegang'.
Harga sasaran (TP) sesaham kumpulan ini turut disemak naik kepada RM8.63 berbanding RM7.64 sebelum ini, mencerminkan prospek lebih positif berikutan lonjakan harga aluminium global. - DagangNews.com








