KUALA LUMPUR 28 Feb - Press Metal Aluminium Holdings Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Bintulu Development Authority (BDA) bagi cadangan usaha sama (JV) menubuhkan sebuah kilang pembuatan rangka solar di Bintulu, Sarawak.
Usaha sama yang dicadangkan itu akan memanfaatkan kepakaran aluminium Press Metal serta inisiatif strategik BDA untuk menyokong pasaran tenaga solar yang berkembang pesat, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Di bawah terma MOU yang sah selama tiga tahun, sebuah entiti akan ditubuhkan dengan BDA memegang 20% saham dan Press Metal atau anak syarikatnya memegang baki 80% saham.
Jumlah pelaburan yang dianggarkan untuk projek tersebut adalah RM600 juta, merangkumi suntikan modal 20% mengikut perkadaran pegangan saham pihak-pihak terlibat dan 80% pembiayaan luar.
Kilang pembuatan rangka solar dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 80,000 tan itu, dijangka memulakan operasi menjelang pertengahan 2026, tertakluk kepada kelulusan peraturan dan perjanjian akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal, Tan Sri Paul Koon berkata, kerjasama dengan BDA merupakan satu langkah penting dalam menyokong visi Sarawak untuk menjadi pusat tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan industri yang mampan, serta turut menyumbang kepada matlamat kelestarian yang lebih luas di Malaysia.
"Kami percaya projek ini akan mengukuhkan ekosistem industri Sarawak dengan memperluas rantaian nilai, mewujudkan lebih banyak peluang untuk aktiviti bernilai tambah dan pada masa yang sama menjana peluang pekerjaan yang bermakna sambil memberdayakan bakat tempatan.
"Ini juga selaras dengan visi Press Metal untuk memperluas penggunaan aluminium rendah karbon kami, mengukuhkan peranan kami dalam menyokong usaha kelestarian global dan peralihan tenaga," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








