WASHINGTON 21 Okt - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata, beliau akan melawat Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, sambil menyatakan beliau juga mahu “bersikap baik terhadap China,” lapor Kyodo News.
Walaupun ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China kembali meningkat, Trump sekali lagi menyuarakan nada optimistik menjelang kemungkinan pertemuan minggu depan dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan.
“Kita akan dapat perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China. Saya sayang hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump di Rumah Putih semasa sesi panjang bersama wartawan ketika bertemu dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
“Kami fikir itu tempat yang baik untuk bertemu, dan kami akan bertemu. Saya akan berada di Malaysia, saya akan berada di Jepun,” katanya.
Trump berulang kali menyatakan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan empat mata dengan Xi apabila kedua-duanya menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik di Korea Selatan pada akhir Oktober.
Namun, ini adalah kali pertama Trump secara terbuka menyebut rancangannya untuk melawat Malaysia dan Jepun juga. Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut.
Sumber kerajaan Jepun berkata Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun bermula 27 Oktober selepas mengunjungi Malaysia bagi menghadiri satu persidangan serantau yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan mereka.
Selepas lawatan ke Jepun, Trump akan meneruskan perjalanan ke Korea Selatan, menurut sumber tersebut.
Lawatan Asia yang akan datang ini merupakan yang pertama sejak beliau memulakan penggal kedua yang tidak berturut-turut pada Januari lalu. – Bernama








