KUALA LUMPUR 26 Nov – Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia) mengecam sekeras-kerasnya serangan fizikal yang berlaku ke atas wartawan berpengalaman dan pemenang anugerah, Haresh Deol, di Bangsar baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media yang tegas, PRCA Malaysia menyifatkan tindakan ganas terhadap seorang wartawan sebagai "perbuatan pengecut" dan merupakan "ancaman terus kepada hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang benar dan bebas."
PRCA Malaysia menekankan insiden keganasan ini bukan isu terpencil, tetapi menyerang asas integriti dalam industri maklumat.
"Bagi industri perhubungan awam, insiden ini bukan sesuatu yang boleh dipandang dari jauh. Pengamal PR dan media berdiri atas asas yang sama – integriti, ketepatan, dan amanah kepada masyarakat," kata kenyataan itu.
"Jika wartawan diugut atau diserang, keseluruhan ekosistem maklumat menjadi rapuh. Apabila kerisauan atau ketakutan menguasai media, fitnah dan manipulasi pula bakal mengambil alih ruang ketelusan dan kebenaran."
Tuntutan Keadilan Nyata
Persatuan itu menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan, dan mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus, dan tanpa rasa takut.
PRCA Malaysia menuntut agar kes ini tidak berakhir dengan kegagalan keadilan.
"Negara ini tidak memerlukan satu lagi kes 'tiada tindakan lanjut' yang hanya melemahkan keyakinan rakyat terhadap proses keadilan," tegas persatuan tersebut, mendesak pihak berkuasa "mengambil tindakan segera, tegas, terbuka dan berani."
"Masyarakat menuntut keadilan yang nyata – bukan janji yang pudar, bukan siasatan yang terhenti separuh jalan."
Media Adalah Institusi Demokrasi
Menggariskan peranan penting media, PRCA Malaysia menegaskan bahawa wartawan adalah tunggak demokrasi yang perlu dilindungi.
"Media adalah institusi demokrasi – sama pentingnya dengan badan kehakiman, pasukan keselamatan dan institusi berperlembagaan lain," ujar PRCA.
Persatuan itu mengeluarkan amaran keras: "Isyaratnya mesti jelas: Mana-mana pihak yang mengugut, mencederakan atau cuba menutup suara wartawan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi. Tiada perlindungan, tiada pengecualian, tiada alasan."
PRCA Malaysia mengakhiri kenyataan dengan mesej bahawa melindungi wartawan adalah sama dengan melindungi maruah negara.
"Keganasan terhadap wartawan adalah serangan terhadap kepercayaan awam, dan ia tidak boleh dibiarkan. Media yang bebas ialah nadi ketelusan negara. Melindungi wartawan bermakna melindungi kebenaran, kepercayaan awam dan maruah negara sendiri." - DagangNews.com








