KUALA LUMPUR 26 Jun – Powerwell Holdings Berhad menerima tempahan daripada PT Duta Listrik Graha Prima untuk membekalkan papan suis voltan rendah (LV) bagi sebuah projek pusat data di Indonesia, dengan nilai kontrak dianggarkan berjumlah RM8.3 juta.
Kumpulan itu berkata, tempahan tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang suku akhir 2025.
Pengarah Urusan Powerwell, Catherine Wong Yoke Yen berkata, pencapaian itu menandakan kejayaan penting buat syarikat dalam pasaran pusat data Indonesia.
"Kami berbesar hati memperoleh satu lagi projek pusat data di Indonesia, yang membuktikan keupayaan kami disokong oleh kilang pemasangan di negara itu.
"Kontrak ini juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kami bagi FY26," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut optimis terhadap potensi pasaran pusat data Indonesia yang dijangka terus berkembang pesat disebabkan struktur kos yang kompetitif.
"Kami yakin akan berpeluang memperoleh lebih banyak projek berdasarkan rekod prestasi dan kepakaran teknikal kami.
"Kumpulan sedang giat mencari peluang dalam sektor pusat data dan juga infrastruktur," tambahnya.- DagangNews.com








