KUALA LUMPUR 5 Nov – Portfolio sukuk jangka pendek tertunggak Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) melonjak ke paras tertinggi dalam sejarahnya, mencecah AS$6.2 bilion (RM26.04 bilion) susulan kejayaan terbitan dan penawaran semula agregat bernilai AS$1.43 bilion baru-baru ini.
Menurut kenyataan IILM, lelongan itu melibatkan empat siri sukuk merentasi tempoh satu, tiga, enam dan dua belas bulan, menjadikannya lelongan terbesar yang dijalankan tahun ini.
Keempat-empat siri sukuk tersebut ditawarkan pada kadar hasil kompetitif iaitu 4.15% bagi sukuk satu bulan bernilai AS$590 juta, 4.08% bagi tiga bulan (AS$490 juta), 4.25% bagi enam bulan (AS$280 juta), serta 4.10% bagi dua belas bulan (AS$75 juta).
Penerbitan ini menandakan lelongan ke-19 IILM bagi tahun 2025, dengan jumlah keseluruhan terbitan setakat ini mencecah AS$20.2 bilion merentasi 60 siri sukuk pelbagai tempoh matang.
Ketua Pegawai Eksekutif IILM, Mohamad Safri Shahul Hamid, menyifatkan transaksi terbaharu ini sebagai pencapaian penting yang mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap platform IILM sebagai penerbit instrumen mudah tunai patuh syariah terkemuka dunia.
“Dalam persekitaran kadar faedah global yang dinamik, kami terus memperluas dan memperdalam tawaran sukuk jangka pendek kami. Kejayaan memasukkan aset jangka pendek baharu bernilai US$150 juta turut meningkatkan asas aset kami ke tahap tertinggi, sekali gus memperkukuh daya tahan ekosistem kewangan Islam,” katanya.
Tambah beliau, pertumbuhan portfolio itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan IILM sebagai penerbit utama sukuk jangka pendek global, tetapi turut meningkatkan kecairan pasaran dan penyertaan pelabur antarabangsa dalam instrumen patuh syariah.
IILM, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, ditubuhkan oleh beberapa bank pusat dan institusi kewangan Islam utama dunia untuk menyediakan penyelesaian pengurusan mudah tunai berasaskan prinsip Syariah bagi menyokong kestabilan pasaran kewangan Islam antarabangsa. - DagangNews.com








