PNB tolak tawaran pengambilalihan Sunway ke atas IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB tolak tawaran pengambilalihan Sunway ke atas IJM

KUALA LUMPUR 16 Mac - Permodalan Nasional Bhd (PNB) memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) bagi pegangan 13.5% miliknya dalam IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd.

 

“Keputusan untuk tidak menerima tawaran di bawah VTO itu dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga PNB selepas penilaian yang teliti, menyeluruh dan bebas yang dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan proses pelaburan serta rangka kerja tadbir urus PNB,” kata PNB pada Isnin.

 

“Penilaian tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan berpandukan tanggungjawab fidusiari kami untuk sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik pemegang unit PNB, selaras dengan tujuan dan mandat kami,” katanya sebagai menjawab pertanyaan Bernama mengenai keputusan syarikat pelaburan itu berhubung perkara berkenaan.

 

PNB berkata pertimbangannya melibatkan beberapa faktor termasuk anggaran nilai intrinsik asas saham IJM berbanding harga tawaran, komponen tunai yang terhad dalam tawaran tersebut serta anggaran potensi kenaikan nilai saham yang akan diterbitkan berbanding harga terbitannya.

 

 

 

 

Pertimbangan juga diberikan kepada prospek dividen IJM serta potensi penciptaan nilai jangka panjangnya, kata PNB, sambil menambah bahawa keputusan itu dibuat semata-mata berdasarkan pertimbangan strategiknya sendiri sebagai pelabur institusi jangka panjang.

 

“Ia tidak bertujuan untuk mempengaruhi atau memberi sebarang jangkaan mengenai bagaimana pemegang saham IJM yang lain seharusnya membuat keputusan. Semua pemegang saham IJM perlu membuat penilaian bebas mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

 

PNB turut menegaskan bahawa penilaian pasaran IJM sejak sekian lama tidak mencerminkan nilai sebenar syarikat tersebut.

 

“Sehubungan itu, tanpa mengira keputusan VTO, kami menjangkakan lembaga pengarah dan pengurusan IJM memberi keutamaan kepada usaha merealisasikan nilai tersebut demi manfaat semua pemegang saham.”

 

PNB kekal komited terhadap tadbir urus yang berdisiplin, pengawasan yang kukuh serta keputusan pelaburan yang berhemat bagi melindungi dan meningkatkan nilai jangka panjang pemegang unitnya.

 

Untuk rekod, pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.

 

 

 

 

 

 

 

Jumaat lalu, penasihat bebas IJM memutuskan bahawa tawaran pengambilalihan Sunway pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah, serta mengesyorkan agar pemegang saham menolak tawaran tersebut.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, IJM berkata penasihat yang dilantik, M&A Securities Sdn Bhd, menyatakan harga tawaran itu mewakili diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33, atau kira-kira 46.1% hingga 51.4% berbanding anggaran nilai saham IJM antara RM5.84 hingga RM6.48. - BERNAMA