KUALA LUMPUR 24 Dis - Permodalan Nasional Bhd (PNB) kekal optimis mengenai prospek ekonomi Malaysia dan bursa tempatan pada tahun depan, antara lain didorong oleh dasar ekonomi yang jelas dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) telah mendapat sambutan yang baik dan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur.
Katanya negara juga kini mencatatkan gelombang ketiga kitaran peningkatan pelaburan, yang banyak disumbangkan oleh aliran masuk FDI.
“Gabungan daripada dasar ekonomi yang mendapat sambutan baik, aliran masuk FDI yang kukuh diterajui oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data selain pelaburan langsung domestik yang teguh, menunjukkan aktiviti di lapangan.
“Trend positif ini mencerminkan hubungan rapat antara ekonomi dan pasaran saham. Saya percaya momentum yang kita ada pada 2024 akan berterusan pada 2025,” katanya pada taklimat bersama editor di Menara 118 di sini,” katanya.
Pada masa ini, Abdul Rahman berkata sebanyak 77% daripada asetnya dilaburkan dalam pasaran domestik manakala 23% dalam pasaran global.
“Daripada 77%, 60% daripadanya adalah dalam pasaran ekuiti awam domestik. Kami banyak melabur dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI),” katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan yang boleh menggugat unjuran tahun depan, beliau berkata, antara risiko yang berpotensi ialah walaupun ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik, ini belum diterjemahkan kepada pendapatan atau prestasi yang lebih baik untuk syarikat Malaysia.
Mengenai potensi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) selepas perjanjian Sime Darby-UMW Holdings Bhd, Abdul Rahman berkata keutamaan PNB ialah memastikan Sapura Energy Bhd menyelesaikan penstrukturan semula hutangnya.
“Pelan penstrukturan semula hutang Sapura Energy telah dilanjutkan sehingga Mac 2025 dan menyelesaikan proses ini penting untuk menstabilkan operasinya,” katanya, sambil menambah PNB pada masa ini tidak menjalankan aktiviti M&A dalam sektor minyak dan gas.
Berhubung Velesto Energy Bhd dan PNB memegang 54% kepentingannya, Abdul Rahman enggan mengulas lanjut dan menyatakan perbincangan mengenai potensi penjualan sedang berjalan.
Pada 6 Jun lepas, dilaporkan Sapura Energy telah diberikan lanjutan selama sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi kepada perintah bersidang dan sekatan yang diperoleh kumpulan itu daripada mahkamah pada Mac 2024, membolehkannya meneruskan penstrukturan semula hutangnya.
Perintah baharu itu berkuat kuasa dari 11 Jun 2024 hingga 10 Mac 2025. Menurut PNB, ia kekal fokus dalam menilai prestasi portfolionya, menggunakan pendekatan menyeluruh untuk mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan organik yang kukuh. - DagangNews.com








