KUALA LUMPUR 7 Julai – Potensi sumber nadir bumi Perak bakal diteroka dengan lebih meluas apabila syarikat teknologi Perancis, Carester memilih untuk membangunkan loji pemisahan nadir bumi di negeri itu menerusi usaha sama selama 10 tahun bersama Malaco Mining Sdn Bhd.
Kerjasama itu akan menjadi platform kepada pemindahan teknologi pemprosesan nadir bumi dari Carester kepada Malaco yang menggabungkan kepakaran teknologi Perancis dengan sumber mineral yang terdapat di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Carester, Frederic Carencotte berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan tempatan dalam industri pemisahan nadir bumi, termasuk perkongsian teknologi dan kepakaran.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai sumber deposit nadir bumi yang berpotensi untuk dibangunkan, manakala Carester pula membawa pengalaman serta teknologi berkaitan pemprosesan mineral tersebut.
“Malaysia mempunyai beberapa deposit nadir bumi. Ini adalah satu situasi menang-menang kerana kami membawa teknologi dan mendapatkan sebahagian daripada akses sumber nadir bumi,” katanya pada sidang media di Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.
Menurut Carencotte, pembangunan loji itu tidak hanya tertumpu di satu kawasan tertentu, sebaliknya Carester akan bekerjasama dengan Malaco untuk mengenal pasti lokasi sesuai berdasarkan kawasan yang mempunyai deposit nadir bumi.

Beliau berkata, Malaco akan memainkan peranan dalam mengenal pasti kawasan berpotensi bagi pembangunan kemudahan tersebut berdasarkan faktor berkaitan sumber mineral yang tersedia.
Kerjasama berkenaan dijangka memberi peluang kepada Malaysia untuk membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri nadir bumi, khususnya dalam aspek pemprosesan yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi berbanding hanya bergantung kepada aktiviti perlombongan.
Nadir bumi kini menjadi antara mineral strategik yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global kerana menjadi bahan penting dalam penghasilan teknologi moden termasuk kenderaan elektrik, elektronik, tenaga boleh baharu serta magnet berprestasi tinggi.
Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, kerjasama antara Carester dan Malaco mencerminkan hubungan ekonomi kedua-dua negara yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang teknologi dan industri bernilai tinggi.
Beliau berkata, Perancis dan Malaysia mempunyai hubungan geopolitik yang kukuh serta aspirasi bersama untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Katanya, perkembangan positif hubungan dua hala itu turut dipacu susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Paris pada Julai tahun lalu yang membuka ruang kepada peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan. - DagangNews.com








