KUALA LUMPUR 24 Mac – Perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mula merasai kesan kenaikan kos operasi akibat konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata kenaikan harga bahan api, kos penghantaran, insurans dan bahan mentah telah menimbulkan tekanan terhadap operasi perniagaan.
“Perkembangan ini meningkatkan ketidakpastian operasi dan kos bagi syarikat, terutama yang mempunyai margin keuntungan tipis.
“Situasi ini boleh menjejaskan daya tahan perniagaan Malaysia terhadap kejutan geopolitik luar negara.
“Walaupun Kesan secara nyata masih belum kelihatan, majikan sudah mula mengalami tekanan kos yang meningkat dalam logistik, tenaga, dan bahan mentah,” katanya dalam satu kenyataan.
PMKS adalah sektor paling terdedah kerana mereka mempunyai margin keuntungan yang lebih kecil dan kapasiti kewangan yang terhad untuk menampung sebarang kejutan luaran.
Beliau berkata sebarang gangguan yang berpanjangan boleh membawa kesan lebih meluas termasuk kelewatan rantaian bekalan, kos pengeluaran yang lebih tinggi, dan pengurangan daya saing di pasaran domestik serta eksport.
“Sekiranya konflik berterusan, perniagaan dijangka menghadapi kenaikan kos yang berterusan dan ketidakpastian rantaian bekalan yang berpanjangan.
“Ini akan menjejaskan penetapan harga, keputusan pelaburan, dan rancangan pengambilan pekerja bagi banyak syarikat. Majikan berusaha menampung peningkatan kos, tetapi ada hadnya sebelum perniagaan terjejas,” katanya.
MEF turut menekankan bahawa banyak PMKS masih dalam fasa pemulihan daripada kejutan ekonomi sebelum ini, termasuk pandemik, kos pematuhan yang meningkat, dan ketidakpastian global yang berterusan.
Beliau menegaskan bahawa sokongan proaktif dan berfokus akan menjadi kritikal untuk membantu PMKS menampung tekanan kewangan tambahan daripada konflik ini.
“MEF menyarankan kerajaan supaya bersedia dan fleksibel dalam dasar sokongan, walaupun pada tahap ini rangsangan ekonomi menyeluruh mungkin belum diperlukan.
“Cadangan sokongan termasuk bantuan kewangan sementara, memudahkan akses kepada modal kerja, dan inisiatif mitigasi kos bagi memastikan perniagaan, terutama PMKS dapat terus beroperasi,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan daya tahan jangka panjang melalui peningkatan produktiviti, diversifikasi rantaian bekalan, dan penggunaan teknologi digital.
“Kerajaan perlu mempunyai mekanisme bantuan kewangan supaya langkah-langkah sokongan boleh diaktifkan segera jika keadaan bertambah buruk, bagi mengelakkan penutupan perniagaan,” katanya. - DagangNews.com








