KUALA LUMPUR 5 Feb - PMB Investment Bhd mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 1.00 sen setiap unit untuk PMB Shariah Global Equity Fund, dengan jumlah pengagihan kasar sebanyak RM106,896.25.
PMB Investment berkata, pengagihan itu telah dikreditkan kepada pemegang unit pada 31 Januari 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Februari 2025.
"Pengagihan itu mewakili hasil sebanyak 1.80 peratus bagi tahun kewangan, dengan dana tersebut mencatatkan pulangan keseluruhan sebanyak 2.66 peratus dalam tempoh yang sama," menurut syarikat dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Pelaburan, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dengan pulangan yang mengagumkan sebanyak 23.75 peratus sepanjang tiga tahun berakhir 31 Januari 2025, PMB Shariah Global Equity Fund telah berjaya memberikan prestasi yang kukuh secara konsisten.
"Ini mencerminkan ketahanan dana tersebut dan keupayaannya untuk menghadapi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan," katanya.
PMB Investment berkata, dana berkenaan adalah untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan yang pelbagai dan mematuhi syariah yang disenaraikan di pasaran global.
Dalam keadaan biasa, dana itu memperuntukkan 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) kepada ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang mematuhi syariah, manakala bakinya dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam dan pelaburan lain yang mematuhi syariah. - DagangNews.com








