KUALA LUMPUR 12 Feb — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa generasi muda dalam kalangan pelajar, khususnya di sekolah menengah agar mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Inggeris.
Usaha berterusan itu, ujar beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini, sebagai sebahagian daripada liputan pembaharuan untuk kesejahteraan negara yang lebih luas.
Sehubungan itu menurutnya, corak pendekatan lapuk terhadap pelaksanaan dasar mesti dirombak untuk memastikan berlaku proses penambahbaikan pengajaran di sekolah yang lebih berkesan dan bergerak pantas.
“Pendidikan adalah pusat pembaharuan institusi. Walaupun pengukuhan bahasa Melayu kekal penting, kita harus memastikan bahasa Inggeris, sebagai bahasa kedua, dikuasai dengan berkesan, terutama peringkat menengah.
“Di bawah garis masa konvensional, keputusan yang dibuat pada 2023 akan membawa kepada penggubalan dasar pada 2024, dimuktamadkan pada 2025, ujian rintis pada 2026, pelancaran awal pada 2027, dan pelaksanaan penuh hanya menjelang 2028.
“Proses berlarutan ini tidak lagi boleh diterima. Jika keputusan tersebut sudah pun dibuat pada 2023, pelaksanaan sepatutnya mesti telah dimulakan pada 2024,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar, yang Menteri Kewangan, turut menegaskan komitmen pihak kerajaan terhadap sebarang pembaharuan institusi, termasuk usaha penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam dan aspek tadbir urus.
Sebelum ini, beliau pernah dilaporkan menggalakkan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia untuk lebih menerima perubahan semasa dengan tidak bimbang belajar menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin.
Langkah jangka panjang tersebut jelasnya, untuk meningkatkan kedudukan negara dalam persaingan ekonomi global menerusi kemahiran berkomunikasi banyak bahasa asing yang ada nilai kepentingan.
Beliau malahan menambah bahawa kepelbagaian linguistik adalah penting untuk kemudahan perhubungan dan peluang ekonomi rakyat dengan pelbagai negara. - DagangNews.com








