Platform gig mohon kerajaan semak semula Rang Undang-undang Pekerja Gig, pastikan jelas sebelum dibentangkan di Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Platform gig mohon kerajaan semak semula Rang Undang-undang Pekerja Gig, pastikan jelas sebelum dibentangkan di Parlimen

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Platform ekonomi gig menzahirkan kebimbangan mengenai draf semasa Rang Undang-undang Pekerja Gig yang mungkin belum lagi mencapai objektif sepenuhnya bagi memperkasakan pekerja gig. 

 

Sebelum Rang Undang-undang itu dibentangkan di Parlimen, syarikat berkaitan iaitu Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove, dan ShopeeFood memohon kerajaan menyemak semula rangka kerja itu bagi memastikan peruntukannya jelas, praktikal dan boleh dilaksanakan.

 

Katanya,tanpa rangka kerja pelaksanaan jelas dan komprehensif, Rang Undang-undang itu boleh mengganggu kerja gig secara tidak sengaja, meningkatkan halangan pekerja, menyekat pertumbuhan dan inovasi sektor tersebut.

 

"Kami memohon kerajaan untuk menyediakan pendekatan operasi menekankan tambang dan pampasan ekonomi gig yang boleh menyekat inovasi dan persaingan serta mengurangkan peluang dan sumber pendapatan untuk pekerja gig.

 

"Selain itu, Rang Undang-undang tersebut menggariskan platform ekonomi gig perlu mendapatakan kelulusan daripada kerajaan bagi melaksanakan apa-apa pemotongan. 

 

"Pada pandangan kami, butiran ini gagal untuk pertimbangkan situasi kehidupan sebenar, seperti caj tol berlebihan secara tidak sengaja," katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

 

Gabungan platform gig itu juga berkata, Rang Undang-undang semasa tidak mempunyai kejelasan tentang pembayaran dua kali, menjadikannya lebih mahal bagi pekerja untuk kekal dalam ekonomi gig.

 

Katanya, beban kewangan ini boleh menjejaskan pemain industri yang lebih kecil, mengurangkan persaingan dan mengehadkan peluang pekerjaan.

 

Oleh itu, kumpulan itu mencadangkan dua langkah yang boleh diambil tindakan untuk dilaksanakan sebelum pembentangan Rang Undang-undang itu. 

 

"Kami mencadangkan kerajaan menjalankan kajian di seluruh negara yang melibatkan penglibatan langsung dengan platform dan pekerja gig melalui soal selidik dan data bersepadu merentas pelbagai industri.

 

"Selain itu, memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk mengumpul maklum balas berharga, menilai peraturan, mengumpul data berharga, memperhalusi penyelesaian dan lebih memahami potensi kesan sebelum pelaksanaan rang undang-undang itu.

 

Kerajaan telah mengendalikan perbincangan dengan pihak berkepintangan bagi menyemask semula Rang Undang-undang Pekerja Gig yang diadakan pada 19 Februari 2025 di mana kumpulan tersebut turut hadir. 

 

"Kami sangat menyokong visi kerajaan untuk melindungi pekerja gig sambil memastikan inovasi industri yang berterusan. 

 

"Bagi memastikan ekonomi gig berkembang maju, Rang Undang-undang itu mestilah jelas, praktikal dan sejajar dengan realiti pekerja. 

 

"Dengan penambahan masa dan kerjasama ini, kami boleh mencipta rangka kerja yang seimbang dan berkesan yang memenuhi keperluan pekerja gig dan industry," katanya.  - DagangNews.com