PJBumi menang kontrak kerja perundingan bernilai RM4.28 juta daripada anak syarikat T7 Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PJBumi menang kontrak kerja perundingan bernilai RM4.28 juta daripada anak syarikat T7 Global

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Feb —  PJBumi Berhad berjaya memperoleh tempahan pembelian bagi kerja-kerja perundingan mengenai Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang mencecah nilai RM4.28 juta.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut berkata, tender baharu berkenaan diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, PJBumi Digital Sdn Bhd daripada T7 Kemuncak Sdn Bhd.


Syarikat itu merupakan subsidari dimiliki kira-kira 70% oleh T7 Global Berhad, dengan aktiviti utamanya terlibat dalam bidang hartanah, pembinaan dan pegangan pelaburan di pelbagai negara.


"Skop kerja melibatkan penyediaan perkhidmatan BIM bagi tahap pembangunan (LOD) 400 iaitu dari peringkat prapembinaan sehingga LOD 500, termasuk penyerahan projek," jelas kenyataan PJBumi.


Kontrak tersebut mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, dengan sebarang lanjutan akan dianggap sebagai tempahan berubah (VO) dan tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.


Kumpulan itu menjelaskan pembelian berkenaan tidak memberi kesan material ke atas modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham atau tahap gearan kumpulan.


Bagaimanapun tambah PJBumi, kontrak terbaharu berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih terkumpul kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.


"Lembaga Pengarah berpandangan yang penerimaan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat, selain mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan digital syarikat," katanya.


Pada masa sama, ia berpendapat kejayaan penerimaan tender berkenaan membuktikan keupayaan teknikal PJBumi Digital dalam penyampaian perkhidmatan BIM yang setanding dengan syarikat antarabangsa.


Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama PJBumi mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com