Pindaan Akta Persaingan 2010 benarkan MyCC rayu keputusan di tribunal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pindaan Akta Persaingan 2010 benarkan MyCC rayu keputusan di tribunal

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pindaan yang dicadangkan kepada Akta Persaingan 2010 akan membolehkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat rayuan terhadap keputusan di Tribunal Rayuan Persaingan.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pada masa ini, MyCC tidak boleh membuat rayuan terhadap keputusan, walaupun pihak yang bertentangan boleh memohon semakan kehakiman.

 

"Ini antara komponen yang kami sedang cuba perbaiki," katanya semasa sesi soal jawab di Parlimen di sini, hari ini seperti laporan The Star.

 

Armizan menjawab soalan dari William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai keberkesanan langkah penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan dan jumlah pertuduhan yang dibuat di bawah akta tersebut sehingga tahun 2024.

 

Beliau juga menyebut tentang rancangan untuk memperkenalkan undang-undang kawalan penggabungan, dengan draf rang undang-undang tersebut sudah diluluskan oleh Pejabat Peguam Negara.

 

"Ia kini sedang diedarkan kepada kementerian-kementerian lain untuk maklum balas mereka. 

 

"Kami sasarkan untuk membentangkannya untuk bacaan pertama pada sidang kali ini," jelasnya.

 

Armizan pada masa sama berkata, MyCC sedang menyiasat 13 kes dakwaan kartel tipuan bida yang membabitkan ratusan perusahaan dengan tender bernilai RM2.3 bilion.

 

Tambah beliau, sebanyak 257 perniagaan telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kartel dan dua daripadanya menyalahgunakan status monopoli mereka.

 

"Kesemua keputusan tersebut telah menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta," ujarnya. - DagangNews.com