PIKOM sokong Inisiatif Pendigitalan Perniagaan bagi tingkatkan daya saing PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PIKOM sokong Inisiatif Pendigitalan Perniagaan bagi tingkatkan daya saing PMKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menyambut baik pengenalan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) yang disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan daya saing digital perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia, seterusnya memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Pengerusinya, Alex Liew berkata, persatuan yakin, skala dan skop BDI yang diperkenalkan oleh Kementerian Digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan SME Corp Malaysia itu, akan menyokong perjalanan digital PKMS tempatan.

 

"Ini adalah usaha yang luar biasa oleh tiga pihak berkenaan. Langkah menyatukan pemegang kepentingan utama dari sektor teknologi dan perkhidmatan kewangan, memerlukan kepimpinan dan penyelarasan yang kukuh. 

 

"Penghargaan sepenuhnya diberikan kepada semua pihak yang mencipta ekosistem yang memberikan sokongan praktikal dan berfokuskan hasil kepada usahawan negara kita. PIKOM sepenuhnya menyokong inisiatif ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Liew, BDI berpotensi memberi kesan yang besar kepada ekonomi dengan membolehkan perniagaan dari semua saiz menerima peralihan digital, meningkatkan kecekapan operasi dan membuka peluang pertumbuhan baharu.

 

Beliau turut memuji Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif  MDEC, Anuar Fariz Fadzil atas kepimpinan mereka dalam membentuk dan melaksanakan BDI.

 

Katanya, PMKS harus memanfaatkan peluang berkenaan untuk menilai tahap kematangan digital mereka dan mengenal pasti jurang yang ada sambil memulakan langkah seterusnya menuju model perniagaan yang lebih pintar untuk masa depan.

 

"Gobind dan Anuar menegaskan, BDI lebih daripada sekadar penyebaran teknologi.

 

"Ia bertujuan mencipta ekosistem yang menyokong PMKS secara menyeluruh meliputi pembangunan kemahiran bakat, akses kepada pembiayaan, pembinaan kapasiti dan alat digital yang mampu milik seperti rumusan e-invois," ujarnya.

 

Tambah beliau, matlamat akhir inisiatif itu adalah untuk memastikan PMKS tidak hanya bersedia untuk pendigitalan, tetapi juga dapat berkembang dan bersaing di peringkat global.

 

Dikenali dengan pengalaman luas dalam industri serta kebolehan menghubungkan dunia teknologi dan perniagaan, Liew membawa perspektif strategik dan berfokuskan rumusan dalam peralihan digital.

 

Sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi PIKOM pada Disember lalu, beliau memberi nafas baharu kepada kumpulan industri tersebut dengan arah yang jelas.

 

"Di PIKOM, misi kami jelas iaitu untuk menerima perubahan, menyesuaikan diri dengan pantas terhadap landskap teknologi yang berkembang dan memperjuangkan kepentingan ahli-ahli kami," kata Liew.

 

Sebagai persatuan teknologi tempatan, PIKOM mewakili lebih 2,000 syarikat yang merangkumi keseluruhan ekosistem ICT.

 

PIKOM memainkan peranan penting dalam memperjuangkan dasar-dasar, memudahkan dialog industri dan membolehkan daya cipta yang memberi manfaat kepada perniagaan dari pelbagai saiz. - DagangNews.com