PIE Industrial optimis prestasi lebih baik pada FY25 dipacu perniagaan margin tinggi, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PIE Industrial optimis prestasi lebih baik pada FY25 dipacu perniagaan margin tinggi, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - PIE Industrial Bhd optimis mencatatkan prestasi lebih baik pada FY25 peralihan strategik ke arah perniagaan yang menawarkan margin tinggi selain pemerolehan pelanggan baharu.

 

Kenanga Research berkata, pelanggan A, yang menawarkan margin lebih baik, dijangka kekal sebagai pemacu pendapatan utama, mendapat manfaat daripada permintaan berkaitan kripto yang berterusan.

 

Katanya, pihak pengurusan menekankan perniagaan daripada Pelanggan A telah meningkat dengan ketara dalam dua bulan pertama 2025 berikutan penyelesaian kekurangan material.

 

Selain itu, syarikat itu sedang dalam perbincangan dengan beberapa bakal pelanggan dan berjaya mendapatkan pelanggan yang boleh mengimbangi kehilangan hasil daripada Pelanggan N.

 

"Pembesaran Kilang 6 kumpulan, yang meliputi 280,000 kaki persegi, kekal mengikut jadual untuk disiapkan menjelang 1QFY25.

 

"Kemudahan ini akan memberi tumpuan kepada pengeluaran besar-besaran suis sementara menunggu kelayakan untuk pembuatan berkaitan pelayan.

 

"Secara keseluruhan, pihak pengurusan menjangkakan margin untung bersihnya meningkat daripada 5.3% pada FY24 kepada kira-kira 6% pada FY25, dipacu gabungan perniagaan dan kecekapan operasi yang lebih menggalakkan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran kecerdasan buatan (AI) dan potensi implikasi tarif di bawah pentadbiran Donald Trump, PIE melihat peluang daripada ketidaktentuan pasaran semasa.

 

Katanya, terutamanya melibatkan Pelanggan N dan mereka telah memulakan perbincangan awal tentang kemungkinan kembali ke PIE.

 

"Pertimbangan semula ini berpunca daripada kekangan tenaga kerja dan kualiti dalam operasi di Vietnam, serta keperluan untuk mempelbagaikan perniagaan dari China untuk mengurangkan risiko tarif.

 

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM5.52 sesaham," katanya. - DagangNews.com