KUALA LUMPUR 10 Mac - Phillip Capital menyemak naik unjuran pendapatan MN Holdings pada FY25 hingga FY27 antara 4% hingga 8% selepas mengambil kira penambahan buku pesanan lebih tinggi sebanyak RM700 juta melebihi sasaran RM600 juta untuk tahun ini.
Katanya termasuk kontrak terbaharu iaitu projek kejuruteraan pencawang di Chuping, Perlis, jumlah kontrak sehingga kini bernilai RM536 juta mewakili mewakili 89% daripada sasaran kemenangan tahun penuh sebanyak RM600 juta sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, ia meningkatkan buku pesanan tertunggak kumpulan kepada RM723 juta, memberikan keterlihatan hasil sehingga FY27E. Pusat data (DC) kini membentuk 48% daripada jumlah buku pesanan.
"Kami menganggap kemenangan itu telah melebihi sasaran penambahan semula FY25 kerana kami menjangkakan anugerah projek pusat data selanjutnya. Dengan mengandaikan margin PAT 7%, kami mengunjurkan kontrak ini menyumbang keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) sebanyak RM4 juta sepanjang tempoh kontrak.
"Dengan tender kukuh berjumlah RM1.7 bilion setakat Februari 2025, kami menjangkakan momentum kemenangan kontrak kekal teguh merentas sektor termasuk pusat data (40%), Tenaga Nasional/Sarawak Energy (40%), solar (8%), pembetungan air (3%) dan lain-lain (10%)," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: MN Holdings raih kontrak kejuruteraan pencawang RM58.2 juta di Perlis daripada TNB
Terdahulu, kontrak itu termasuk membekal, mendirikan, menguji dan mentauliahkan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (GIS) PMU 132/33kV lengkap dengan kerja-kerja asas, menengah dan semua kerja awam yang berkaitan.
Kontrak itu berkuat kuasa 6 Mac 2025 dan akan diselesaikan 840 hari dari tarikh permulaan.
Phillip Capital menyukai umpulan itu sebagai proksi untuk infrastruktur kuasa Malaysia yang berkembang dan pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan solar yang berkembang pesat.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk pelancaran projek yang lebih perlahan daripada jangkaan yang menjejaskan penambahan buku pesanan dan kelewatan yang tidak dijangka.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com








