KUALA LUMPUR 4 Feb – Phillip Capital Research meramalkan buku tempahan UWC Berhad berpotensi meningkat 15% sehingga 20% berikutan pengeluaran besar-besaran model prototaip baharu.
Menurut firma penyelidikan tersebut, keyakinan positif itu berdasarkan permintaan tinggi dari pelanggan bahagian pembungkusan dan ujian (BE), sambil ia mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM4.98.
Ia turut menekankan faktor margin yang kukuh dan permintaan daripada para pelanggan utama terus menyokong prospek pertumbuhan kumpulan perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan bersepadu itu.
"Operasi pembuatan cip (FE) semikonduktor kini beroperasi pada tahap penggunaan sekitar 80%, dengan kapasiti tambahan disediakan UWC melalui sejumlah mesin," kata Phillip Capital dalam analisisnya.
Jelasnya, ini termasuk empat mesin jenis CNC 5-axis dan 17 mesin khas daripada Jepun, yang dijangka dapat meningkatkan lagi margin serta memperkukuhkan hubungan jangka panjang dengan pelanggannya.
Dalam segmen BE, penghantaran alat penguji bagi pelanggan terbesar meningkat lebih cepat daripada jangkaan kepada 20 unit secara mingguan dan dijangka berterusan sehingga separuh pertama 2026.
Selain itu tambah Phillip Capital, bekas pelanggan BE terbesar ketika ini mencatat 30 hingga 40 unit mingguan, menyumbang 14% daripada buku tempahan, dan potensi peningkatan kepada 15 hingga 20%.
"Keadaan pertumbuhan tambahan ini dijangka dapat direaliasikan UWC apabila model prototaip baharu mula memasuki fasa pengeluaran produk ditempah pelanggan secara besar-besaran," kata firma itu.
Buku tempahan keseluruhan kumpulan itu yang ditubuhkan sejak 1980 jelasnya, meningkat sebanyak RM200 juta setakat Disember 2025, dengan kira-kira 88% daripadanya merupakan segmen semikonduktor.
Pelanggan FE terbesar kata Phillip Capital, menyumbang 30% daripada jumlah itu, dan penghantaran awal komponen untuk aplikasi ujian bateri kenderaan elektrik (EV) sudah dimulakan walaupun pada tahap kecil.
Firma itu menjangkakan momentum pesanan FE yang kukuh dan pemulihan segmen BE berpotensi memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan, walaupun masih terdapat beberapa risiko kelemahan tertentu.
"Antaranya jika berlaku penyusutan permintaan pelanggan, pengukuhan nilai ringgit, dan margin lebih lemah daripada jangkaan yang tetap wujud," katanya. - DagangNews.com








