Phillip Capital mulakan liputan ke atas CBH Engineering dengan saranan Beli disokong pertumbuhan pesat pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas CBH Engineering dengan saranan Beli disokong pertumbuhan pesat pusat data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 April – Phillip Capital  memulakan liputan ke atas CBH Engineering Holdings Bhd dengan saranan Beli beserta harga sasaran 91 sen sesaham yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 85.7 peratus berbanding 49 sen ketika ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata CBH dilihat sebagai penerima manfaat utama daripada pelaburan infrastruktur tenaga yang semakin pesat di Malaysia.

 

“Pertumbuhan ini dipacu oleh perkembangan pantas pusat data yang memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan berkapasiti tinggi,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

CBH merupakan pakar dalam kejuruteraan mekanikal dan elektrik, khususnya dalam reka bentuk serta pembinaan sub-stesen dan sistem pengagihan elektrik.

 

Phillip Capital menjangkakan keuntungan CBH meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 38 peratus antara 2025 hingga 2028.

 

Permintaan tinggi untuk kerja sub-stesen dan sambungan grid berkaitan pembangunan pusat data menyokong prospek pertumbuhan ini.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan peluang pasaran projek sub-stesen bernilai antara RM5 bilion hingga RM7 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Buku tempahan sedia ada CBH pada Februari 2026 berjumlah RM592 juta, dengan 90 peratus daripadanya berkaitan projek pusat data.

 

Buku tender kumpulan kini berjumlah RM830 juta, dengan anggaran pengisian semula tahunan sebanyak RM700 juta hingga RM800 juta sehingga 2028.

 

Firma tersebut meramalkan untung bersih CBH meningkat daripada RM48 juta pada 2025 kepada RM79.4 juta pada 2026, RM95.3 juta pada 2027 dan RM115 juta pada 2028.

 

Profil margin yang melebihi purata industri serta model perniagaan ringan aset dijangka menyokong pulangan syarikat, dengan tunai bersih kira-kira RM150 juta setakat Disember 2025.

 

Namun begitu, risiko utama termasuk kebergantungannya kepada projek pusat data dan subkontraktor serta persaingan yang semakin sengit daripada pemain tempatan dan asing. - DagangNews.com