KUALA LUMPUR 18 Mac – Pharmaniaga Bhd kini memasuki fasa seterusnya dalam pelan pemulihannya dengan jangkaan pengukuhan pendapatan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas berjaya melaksanakan pelan penstrukturan semula dan keluar daripada status Practice Note 17 (PN17), syarikat berkenaan kini telah menstabilkan kedudukan kewangannya serta kembali mencatatkan keuntungan yang mampan.
“Kami percaya Pharmaniaga kini memasuki fasa transformasi seterusnya di bawah pelan Vision ONE30, dengan penjenamaan semula daripada pengedar berasaskan konsesi kepada platform pembuatan farmaseutikal dan biofarmaseutikal bernilai tinggi,” katanya dalam satu nota kajian.
Sehubungan itu, BIMB Research memulakan liputan terhadap Pharmaniaga dengan saranan “BELI” dan harga sasaran 37 sen, berdasarkan gandaan 13 kali nilai perusahaan berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/EBITDA) bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Tambahnya, pihak pengurusan menyasarkan keuntungan bersih sebanyak RM300 juta menjelang 2030 di bawah pelan Vision ONE30, sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan ketara berbanding tahap pendapatan semasa.
Dari segi unjuran, keuntungan bersih teras Pharmaniaga dijangka meningkat kepada RM70.2 juta pada FY26, diikuti RM89.7 juta pada FY27 dan RM106.3 juta pada FY28, masing-masing mencerminkan pertumbuhan tahunan sebanyak 45%, 28% dan 19%.
Pendapatan pula diunjurkan berkembang daripada RM4.1 bilion pada FY26 kepada RM4.8 bilion menjelang FY28, disokong oleh aliran pendapatan konsesi yang stabil, peningkatan volum pengedaran farmaseutikal serta sumbangan berperingkat daripada usaha lokalisasi, khususnya dalam segmen vaksin dan insulin.
Menurut BIMB Securities, segmen pembuatan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan, selain dilihat sebagai bahagian yang menambah nilai kepada syarikat.
“Pada 2025, EBITDA bagi segmen pembuatan meningkat 65% tahun ke tahun, didorong oleh permintaan lebih kukuh terhadap produk dalaman serta kecekapan kos yang lebih baik merentasi empat loji pengeluaran,” katanya. - DagangNews.com








