Pharmaniaga kembali catat untung bersih RM133 juta pada FY24 dibantu oleh penambahan produk baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pharmaniaga kembali catat untung bersih RM133 juta pada FY24 dibantu oleh penambahan produk baharu

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Pharmaniaga Bhd kembali menjana keuntungan bersih sebanyak RM133.8 juta pada tahun kewangan 2024 berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24) berbanding dengan rugi bersih yang dicatatnya sebanyak RM78.7 juta pada tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat farmaseutikal itu melaporkan RM3.8 bilion hasil pada FY24, mewakili peningkatan 10.4% daripada RM3.4 bilion yang dicatat pada FY23.

 

“Prestasi kumpulan yang lebih baik ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam segmen konsesi, dirangsang oleh penambahan produk baharu ke Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL). 

 

“Selain itu, kumpulan juga telah melaraskan harga di bawah kitaran konsesi baharu dan mengembangkan perniagaan di Indonesia dengan membuka tiga cawangan baharu di rantau itu," katanya dalam satu kenyataan. 


Sementara itu, Pharmaniaga juga mencatat hasil pada suku berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) sebanyak RM926.4 juta, menaik 17.3% daripada RM789.8 juta pada Q4FY23. 

 

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, keputusan kumpulan yang memberangsangkan itu menunjukkan momentum menaik dalam perjalanan mengukuhkan kewangan kami.

 

"Ini menunjukkan komitmen kami untuk mengembangkan perniagaan dengan memajukan inisiatif utama dalam biofarmaseutikal, terutamanya insulin manusia dan produk vaksin kami. 

 

"Inovasi ini bersedia untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan dengan ketara sambil mengukuhkan kedudukan pasaran kami.

 

“Selain itu, geran yang disokong kerajaan untuk dua pembangunan vaksin utama pada tahun ini menyokong lagi misi kami untuk meningkatkan penjagaan kesihatan pencegahan dan mencapai sara diri dalam pengeluaran vaksin.

 

Sementara itu bahagian farmaseutikal kami telah mendapatkan kelulusan pendaftaran untuk 12 SKU dalam bidang terapeutik utama,” katanya. - DagangNews.com