KUALA LUMPUR 12 Jun - Petronas akan mempercepatkan pengembangan portfolio gas asli cecair (LNG) globalnya bagi menyokong keperluan tenaga China yang semakin meningkat sejajar dengan usaha negara itu untuk beralih kepada bahan api lebih bersih.
Pada 2024, syarikat tenaga negara itu mengeksport 8 juta tan metrik LNG ke China, menyumbang kira-kira 10% daripada jumlah import negara itu untuk tahun tersebut.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas bagi Perniagaan Gas dan Maritim, Shamsairi Ibrahim berkata, selain memastikan keupayaan bekalan jangka panjang daripada kompleks LNG miliknya melalui pembangunan beberapa medan gas baharu di Malaysia, termasuk Timi, Kasawari dan Jerun, kumpulan itu juga akan meneruskan projek huluan tambahan seperti medan Rosmari dan Marjoram yang bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memenuhi permintaan masa hadapan.
“Di peringkat antarabangsa, kami sedang meluaskan rangkaian bekalan, terutamanya di Amerika Utara. Pencapaian penting ialah penghantaran kargo LNG pertama dari usaha sama kami di LNG Canada yang berpangkalan di Alberta, yang dijangka berlaku pada pertengahan 2025," katanya, lapor China Daily.
Setelah beroperasi, projek tersebut dijangka menambah sebanyak 14 juta tan metrik LNG setahun ke dalam portfolio LNG global Petronas, sekali gus mengukuhkan keupayaan eksportnya dan mempelbagaikan asas bekalannya secara signifikan.
Bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di China dan memenuhi permintaan global LNG secara lebih mampan, syarikat itu turut mempertingkatkan keupayaan penghantarannya.
Ini termasuk penggunaan tiga kapal LNG baharu bagi menambah baik penghantaran ke terminal Wuhaogou milik Shenergy Group di Shanghai serta membekalkan LNG ke bandar-bandar pedalaman di sepanjang Sungai Yangtze melalui sistem saluran paip yang inovatif.
Usaha Petronas itu turut disokong kerjasamanya dengan Tiger Gas, sebuah syarikat berpangkalan di Shanghai yang mempunyai pelbagai pelaburan di Malaysia, termasuk kemudahan pengisian LNG di Bintulu.
Kerjasama itu mengukuhkan infrastruktur LNG rentas sempadan dan mengukuhkan komitmen bersama terhadap pembangunan tenaga bersih.
Antara hasil utama kerjasama itu ialah pembangunan kapal LNG yang direka khas yang mampu membawa sekitar 600 kontena. Tidak seperti kapal LNG konvensional yang memerlukan pelabuhan air dalam, kapal ini boleh belayar terus ke Sungai Yangtze, sekali gus memperluas akses LNG ke kawasan bukan pesisir di China.
Selain LNG, Petronas turut membekalkan petrokimia, minyak mentah dan pelincir ke pasaran China. Ia juga sedang mempertingkat penyelesaian LNG marin seperti perkhidmatan pengisian bahan api (bunkering) dan mengembangkan armada LNG miliknya dengan kapal baharu.
Empat daripada kapal itu sedang dibina di Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd, sebuah limbungan kapal utama yang berpangkalan di Shanghai.
Shamsairi berkata, ketidaktentuan geopolitik dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan tenaga telah mendorong banyak negara, termasuk China, untuk mengutamakan sumber tenaga domestik.
Trend itu telah membawa kepada lebih banyak sikap berhati-hati terhadap kontrak LNG jangka panjang dan mengurangkan selera terhadap komitmen import baharu, sekali gus mewujudkan pasaran LNG global yang lebih kompleks dan sukar diramal.
"Walaupun berdepan cabaran, Petronas yakin terhadap nilai portfolio LNG dan tenaga bersih miliknya,” katanya sambil menekankan bahawa syarikat itu percaya komitmen berterusannya untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai dan lestari adalah sejajar dengan strategi peralihan tenaga jangka panjang China. - DagangNews.com








