KUALA LUMPUR 6 Nov – PETRONAS menandatangani perjanjian selama 20 tahun dengan Pembina Pipeline Corp dari Kanada bagi pengangkutan dan pencairan gas asli milik syarikat minyak negara itu di Kanada.
Perjanjian tersebut, yang dimeterai melalui anak syarikat masing-masing, memberikan PETRONAS kapasiti eksport tambahan bagi rizab gasnya di Kanada dengan menggunakan kapasiti pencairan sebanyak satu juta tan setahun di projek Cedar LNG, menurut kenyataan Petronas pada Rabu. Nilai perjanjian itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Cedar LNG merupakan usaha sama antara Haisla Nation dan Pembina Pipeline, melibatkan kemudahan pencairan gas asli terapung (floating LNG) yang dicadangkan di Kitimat, British Columbia, bagi mengeksport gas asli ke pasaran global.
Projek yang dianggarkan bernilai AS$4 bilion (RM16.79 bilion) itu masih mengikut jadual dan dalam anggaran kos, dengan operasi komersial dijangka bermula pada akhir tahun 2028, menurut Petronas.
Untuk rekod, pada Julai 2017, PETRONAS bersama rakan kongsinya telah memutuskan untuk tidak meneruskan projek Pacific NorthWest LNG di Port Edward, British Columbia, berikutan keadaan pasaran ketika itu.
PETRONAS berkata, kerjasama dengan Pembina menegaskan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pelaburannya di Kanada serta menunjukkan dedikasinya untuk memanfaatkan sumber gasnya secara bertanggungjawab.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen jangka panjang PETRONAS terhadap pelaburan kami di Kanada serta usaha berterusan untuk memperkukuh portfolio bekalan LNG global kami,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Petronas Gas and Maritime Business, Shamsairi M Ibrahim.
“Susunan ini meningkatkan kepelbagaian bekalan dan kebolehpercayaan penghantaran kepada pelanggan, di samping mengukuhkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai serta berkarbon rendah bagi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat di Asia,” tambah beliau.


Pembina, yang disenaraikan di Bursa Saham Toronto dan New York, sebelum ini telah memperoleh perjanjian perkhidmatan tol ‘take-or-pay’ selama 20 tahun bagi kapasiti 1.5 juta tan setahun untuk menyokong keputusan pelaburan akhir (FID) projek itu pada Jun 2024.
Naib Presiden Kanan dan Pegawai Pembangunan Korporat Pembina, Stu Taylor berkata perjanjian tersebut melanjutkan hubungan sedia ada antara syarikatnya dengan PETRONAS dan mengesahkan potensi jangka panjang eksport LNG dari Pantai Barat Kanada.
“Perjanjian ini sekali lagi mengesahkan kekuatan projek Cedar LNG serta menonjolkan permintaan kukuh terhadap kapasiti eksport global, memandangkan kelebihan jelas yang dimiliki LNG Pantai Barat Kanada – termasuk harga bahan mentah yang kompetitif serta jarak penghantaran yang lebih dekat ke pasaran Asia,” kata Taylor.
Langkah terbaharu PETRONAS ini menambah kepada kehadirannya yang semakin berkembang di Kanada, di mana syarikat itu memiliki anggaran rizab gas sebanyak 50 trilion kaki padu.
Syarikat milik penuh kerajaan itu mengendalikan projek huluan North Montney Joint Venture dan merupakan rakan ekuiti utama dalam projek LNG Canada bernilai AS$40 bilion di Kitimat, yang telah menghantar kargo pertamanya pada Julai lalu.
PETRONAS memiliki pegangan sebanyak 25% dalam LNG Canada bersama Shell plc (40%), PetroChina Co Ltd (15%), Mitsubishi Corp (15%) dan Korea Gas Corp (5%). Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan itu akan mempunyai kapasiti eksport sehingga 14 juta tan LNG setahun.
PETRONAS sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk meneroka beberapa lagi pembangunan LNG di Kanada pada masa hadapan. - DagangNews.com








