KUALA LUMPUR 13 Julai - Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) memeterai perjanjian baharu selama tujuh tahun untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) kepada pelanggan lamanya dari Jepun, Shizuoka Gas Co. Ltd., bermula pada 2032.
Di bawah perjanjian itu, PETRONAS akan membekalkan kira-kira 840,000 tan metrik LNG kepada syarikat utiliti Jepun berkenaan, namun nilai kontrak tersebut tidak didedahkan.
Menurut PETRONAS, perjanjian itu memanfaatkan portfolio LNG globalnya yang pelbagai bagi menawarkan fleksibiliti serta kebolehpercayaan bekalan yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga Shizuoka Gas yang terus berkembang dalam persekitaran pasaran yang semakin dinamik.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Kuala Lumpur dan turut menandakan ulang tahun ke-30 penghantaran kargo LNG pertama PETRONAS kepada Shizuoka Gas, sekali gus mencerminkan hubungan perniagaan yang telah terjalin sejak tiga dekad lalu.
Ketua Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, perjanjian itu melangkaui kepentingan komersial semata-mata kerana ia melambangkan kepercayaan dan kerjasama erat yang dibina bersama sejak 30 tahun lalu.
“Perjanjian ini bukan sekadar satu pencapaian komersial. Ia mencerminkan 30 tahun kepercayaan bersama, pertumbuhan yang dikongsi serta kerjasama yang terus berkembang seiring perubahan landskap tenaga,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berterusan dengan Shizuoka Gas membuktikan keupayaan PETRONAS sebagai pembekal LNG yang diyakini di peringkat antarabangsa, selain komitmennya menyediakan penyelesaian tenaga yang fleksibel dan boleh dipercayai kepada pelanggan di tengah-tengah perubahan dinamik pasaran tenaga global.
Perjanjian baharu itu dijangka mengukuhkan lagi kehadiran PETRONAS dalam pasaran LNG Asia, khususnya Jepun yang kekal sebagai antara pengimport LNG terbesar dunia, di samping memperkukuhkan hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua syarikat. - DagangNews.com








